Subscribe to RSS feeds

Sunday, June 14, 2015

Kopi menguat atau melemahkan memori?

 


Ketika mengandungkan anak saya yang keempat, saya sangat sibuk dan tidak sempat begitu teliti dengan keperluan diri.Waktu itu saya perlu menjaga 3 orang anak kecil berusia 3 tahun dan anak kembar yang berusia 1 tahun. Anak kembar saya pula masih merangkak dan belum pandai berjalan. Dalam masa mengurus anak-anak dan keluarga, saya juga bekerja.

Banyak keperluan diri yang saya terabai. Setiap saat saya terkejar-kejar. Menjaga anak kecil memang agak rumit. Apatah lagi 3 orang. Ditambah pula dengan keadaan diri yang sedang mengandung pula. Hanya yang mengalami yang tahu bagaimana situasinya saat itu. Apapun, saya tetap bersyukur kerana masih mampu melalui semuanya. Suami pula banyak membantu jika beliau ada di rumah biarpun sangat terhad waktu di rumah kerana tuntutan tugas.

Waktu itu makan minum dan tidur saya memang tidak teratur dan tidak mencukupi. Namun saya syukur kerana sebaik sahaja sampai di tempat kerja, saya akan makan dua mangkuk sup. Minuman pula air kopi. Hanya itu yang boleh saya minum ketika mengandungkan anak saya yang keempat. Jika tidak, saya rasa mual dan tidak boleh menelan. Mahu muntah pun ada. Memang kopi minuman harian saya.

Berbelas tahun berlalu. Anak-anak saya semakin membesar. Layanan terhadap anak-anak sama sahaja. Apa yang mampu, itu yang kami beri pada anak-anak. Dari sudut makanan, pendidikan dan lain-lain, lebih kurang sama sahaja. Walau bagaimanapun, anak keempat saya menunjukkan pencapaian akademik yang ketara. Bukan sekadar akademik, namun banyak juga hal lain yang menunjukkan beliau pantas dan cepat belajar. Oleh kerana hanya semasa mengandungkan dia sahaja saya kuat minum kopi maka saya beranggapan bahawa kopi yang saya minum setiap hari ada pengaruhnya terhadap anak yang dikandung.

Walau bagaimanapun, kajian yang dibuat oleh Radiological Society of North America pada tahun 2005 mendapati bahawa pengambilan 2 cawan kopi meningkatkan memori jangka pendek dan mempercepatkan tindak balas. Pada tahun 2007 pula kajian mendapati bahawa wanita berusia 65 tahun ke atas yang mengambil 3 cawan kopi sehari mempunyai daya ingatan yang lebih baik dalam ujian memori daripada yang hanya mengambil secawan kopi sehari.

Hanya perkongsian. Tidak perlu percaya.

Saturday, June 13, 2015

Si Kembar

Kembar saya waktu kecil
Kembar sudah kian dewasa

Melahir dan membesarkan anak kembar memang agak berbeza daripada biasa.
(Akan disambung jika berkesempatan)

Hatyai, Songkhla 2014





















Friday, June 12, 2015

Big Baby


Anak yang ini suka gelarkan dirinya "baby". Maklumlah anak bongsu. Nampak besar tetapi umurnya baru 3 tahun. Apabila dia nampak baby kecil, dia akan kata dirinya "big baby". Kalau dibawa berjalan memang penat melayan dia ke sana ke mari dan minta itu dan ini. Pergi ke klinik kerana demam pun tidak tahan duduk diam. Terpaksa bawa dia jalan-jalan. Sempat masuk kedai beli roti. Sempat juga dia nampak dan minta topeng dan mainan tiup-tiup. Demi keamanan, belilah juga topeng dan mainan murah untuknya. 

Tuesday, May 26, 2015

Diam Tak Diam

Diam tak diam anak-anak sudah semakin dewasa. Satu demi satu pergi meninggalkan rumah untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Mulanya terasa sayu. Namun hati kena dicekalkan demi masa depan.

Jauh atau dekat, anak-anak tetap dekat di hati. Kecil atau besar, anak-anak masih seperti anak-anak kecil yang kita dukung dahulu. Begitulah perasaan ibu. Cuma cara melayan mereka sudah ikut kedewasaan mereka. Kalau masa kecil-kecil dahulu saya suka iringi anak-anak ke sekolah, kini saya masih suka iringi mereka ke mana mereka pergi walaupujn agak terhad.

Bersama anak-anak yang sudah dewasa di sebuah restoran Vegetarian di Melaka.

Contohnya mereka mahu pulang ke kampus atau mahu shopping atau sekadar makan sambil berbual-bual. Bukan dekat. Ada kalanya saya pergi ke tempat mereka sejauh Kuantan, Shah Alam, Kuala Lumpur atau Melaka. Dari Johor tentulah ia agak jauh. Namun saya rela memandu ke sana demi ingin temui anak. Bukan mahu berjumpa lama pun. Sekadar dapat bertanya khabar, berjumpa ala kadarnya, mendengar sedikit sebanyak cerita mereka. Semua itu sudah cukup mengubat rindu.

Kemudian saya memandu pulang. Hati rasa lega dan puas dapat jumpa anak-anak. Hati wanita tetap hati wanita, hati ibu tetap hati ibu walaupun diam tak diam anak-anak sudah berjauhan. Syukur atas semua nikmat Tuhan.

Friday, January 16, 2015

Kunjungan tidak diduga


Ini antara blog yang saya suka dan sayang. Mana tidaknya. Ia cerita real story saya dan keluarga. Ia sebuah kenangan pahit manis dalam menjalani kehidupan. Walaupun tidak semuanaya dapat saya coretkan di sini, namun ia sebahagian daripada coretan hidup yang bermakna. Cuma agak lama saya tidak menjenguk ke sini.

Sesekali menjenguk ke ruangan ini, agak mengejutkan kerana bulan lepas ada 50 visit dari USA. Tertanya juga  siapakah agaknya mereka yang sudi menjenguk ke sini. Suka juga nak tahu. Jemputlah tinggalkan komen atau email. Semoga kunjungan membawa kebaikan. Saya memang tidak mengharapkan blog ini untuk dikunjungi kerana blog ini lebih bersifat personal blog. Ia ada private value untuk saya. Ia mungkin bermakna untuk saya tetapi tidak kepada orang lain. Walau bagai manapun saya kongsikan apa yang boleh dikongsikan bersama. Jika mungkin ada yang boleh dijadikan pengajaran dan sempadan, silalah. Tiada masalah.

Walau apapun, thank you for your visit. Nice meeting you.