Banyak keperluan diri yang saya terabai. Setiap saat saya terkejar-kejar. Menjaga anak kecil memang agak rumit. Apatah lagi 3 orang. Ditambah pula dengan keadaan diri yang sedang mengandung pula. Hanya yang mengalami yang tahu bagaimana situasinya saat itu. Apapun, saya tetap bersyukur kerana masih mampu melalui semuanya. Suami pula banyak membantu jika beliau ada di rumah biarpun sangat terhad waktu di rumah kerana tuntutan tugas.
Waktu itu makan minum dan tidur saya memang tidak teratur dan tidak mencukupi. Namun saya syukur kerana sebaik sahaja sampai di tempat kerja, saya akan makan dua mangkuk sup. Minuman pula air kopi. Hanya itu yang boleh saya minum ketika mengandungkan anak saya yang keempat. Jika tidak, saya rasa mual dan tidak boleh menelan. Mahu muntah pun ada. Memang kopi minuman harian saya.
Berbelas tahun berlalu. Anak-anak saya semakin membesar. Layanan terhadap anak-anak sama sahaja. Apa yang mampu, itu yang kami beri pada anak-anak. Dari sudut makanan, pendidikan dan lain-lain, lebih kurang sama sahaja. Walau bagaimanapun, anak keempat saya menunjukkan pencapaian akademik yang ketara. Bukan sekadar akademik, namun banyak juga hal lain yang menunjukkan beliau pantas dan cepat belajar. Oleh kerana hanya semasa mengandungkan dia sahaja saya kuat minum kopi maka saya beranggapan bahawa kopi yang saya minum setiap hari ada pengaruhnya terhadap anak yang dikandung.
Walau bagaimanapun, kajian yang dibuat oleh Radiological Society of North America pada tahun 2005 mendapati bahawa pengambilan 2 cawan kopi meningkatkan memori jangka pendek dan mempercepatkan tindak balas. Pada tahun 2007 pula kajian mendapati bahawa wanita berusia 65 tahun ke atas yang mengambil 3 cawan kopi sehari mempunyai daya ingatan yang lebih baik dalam ujian memori daripada yang hanya mengambil secawan kopi sehari.
Hanya perkongsian. Tidak perlu percaya.
0 comments:
Post a Comment