Subscribe to RSS feeds

Wednesday, July 23, 2025

Erti Kelahiran dan Kehadiran


Dalam perjalanan menyelusuri hidup yang penuh warna warni ini, saya bercakap dengan diri sendiri agar tidak mengeluh dengan kehadiran anak-anak. Maklumlah kadang-kadang kita diuji dengan kepenatan, kesibukan, kelaparan, kedahagaan, keriuhan, kesunyian, kelupaan, keluh kesah mahupun kelekaan dan sebagainya. 


Padahal anak-anak yang bermacam ragam dan kerenah itulah yang menghiburkan hati, yang membuatkan kita terlupa sejenak masalah di tempat kerja, yang membuatkan kita rasa kenyang walaupun belum makan, yang membuatkan kita sanggup berkorban walaupun kita tak pandai atau tak punya apa-apa. 


Betapa semangat yang hadir bersama kehadiran anak-anak sangat besar ertinya. Anak-anak adalah pencetus inspirasi dan motivasi terbesar dalam hidup saya, sehingga sanggup buat apa saja demi anak-anak. Sehingga kalau ada rasa nak mati pun, hati berbisik, "Kau kena kuat, kau kena hidup, sebab anak-anak perlukan kau!" 


Setiap anak ada peranannya. Setiap mereka menjadi asbab untuk ibu bapa menyedari dan muhasabah diri. Secara maknawi mereka hadir seolah membawa sesuatu mesej kepada kita, hanya akal yang menyedari dan jiwa yang menginsafi akan faham dan sedar perkara ini. Sebab itulah Tuhan hadirkan mereka dalam hidup kita.


Bagi saya setiap anak memang memberi makna yang berbeza. Kehadiran mereka mengajar dan menyedarkan saya dengan cara masing-masing yang tersendiri. Inilah mungkin cara Tuhan mendidik saya, iaitu melalui anak-anak. Lain orang mungkin berbeza sudut pandangnya. Namun, ini pengalaman saya secara personal. 


Kelahiran sulong - mengembalikan keyakinan diri saya.

Kelahiran kedua (kembar) - membuatkan saya bersedia dan tanggungjawab.

Kelahiran ketiga - mengajar saya kekuatan, kesungguhan, kegigihan.

Kelahiran keempat - mengajar saya bertenang dan menerima kekurangan.

Kelahiran kelima - mengajar saya konsisten dan bersabar.

Kelahiran keenam - mengajar saya kelembutan, common sense dan syukur.


Setiap anak yang dilahirkan, ada mesej Tuhan yang Dia mahu sampaikan pada kita. Lihatlah dengan mata hati yang terbuka dan penuh kesedaran. Kita akan sedar, ketentuan Tuhan tidak sia-sia. Tuhan Maha bijaksana mengatur setiap kehadiran jiwa penuh makna dalam hidup ini. Ia menjadi asbab kita dapat memperbaiki diri sambil menikmati pelbagai rezeki kurniaan Ilahi. Alhamdulillah.

0 comments: