Monday, March 7, 2011
Wednesday, February 9, 2011
Pergi dengan Relaku
Pembantu yang cepat dan cekap sudah pergi. Teman berkongsi cerita dan aspirasi sudah terpaksa meneruskan perjalanan hidupnya yang berdikari pula. Ya Tuhan, berikan yang terbaik untuk puteriku, segalanya yang terbaik. Biarpun rasa kehilangan, namun kurelakan. Sekejap saja masa berlalu. Riuh rendah dan keletah comel anak-anak seperti baru semalam. Kini satu demi satu pergi meninggalkan rumah demi mencari erti dewasa.
Aduhai saat indah bersama anak-anak. Saat itu sebentar saja berlalu. Esok lusa sekelip mata, anak-anak sudah berjauhan pula. Moga yang terbaik buat anak-anakku.
Saturday, February 5, 2011
Main bola sepak
Tuesday, January 25, 2011
Lautan Telur
Semasa aku baru melahirkan anak yang keempat (kali ketiga bersalin), usia anak-anak kembarku baru setahun lebih, belumpun setahun setengah dan mereka baru sahaja pandai berjalan. Ketika masih dalam pantang, aku menjaga bayiku di bilik belakang, bersebelahan dengan ruang dapur. Ketika aku sedang sibuk melayani bayiku dengan pelbagai keperluannya ditambah pula dengan keperluanku sendiri ketika dalam pantang di dalam bilik itu, aku terdengar anak-anakku sedang bergelak ketawa di ruang dapur. Pintu bilik tidak tertutup. oleh itu aku dapat mendengar suara mereka dengan jelas. Mendengar mereka ketawa gembira, hatiku lega dan senang sekali. Sekurang-kurangnya anak-anakku tiada sebarang masalah. Begitulah bisik hati kecilku.
Lima belas minit kemudian aku mula cemas apabila mereka satu demi satu menangis. Pastilah ada sesuatu yang tidak kena apabila kanak-kanak menangis. Aku teringin melihatnya. Aku ingin tahu apa masalah anak-anakku sehingga mereka menangis sedangkan tadinya mereka bergelak ketawa. Maka dengan berbengkung, aku berjalan perlahan-lahan menjengukkan muka ke pintu. Alangkah terkejutnya bila kudapati anak-anak kembarku menangis sambil mereka sedang berdiri di kelilingi cecair likat berwarna kuning putih. Terdapat kulit telur berselerakan di sana sini atas cecair tersebut. Pintu peti sejuk pula sedang terbuka dan mereka berada berdekatan dengan peti sejuk tersebut. Mengertilah aku bahawa anak-anak kembarku telah bermain dengan telur yang dicampak-campak seperti bola. Hanya bezanya bola melantun bila terkena lantai. Sebaliknya telur menjadi pecah apabila terkena lantai. Bila mereka sukar bergerak disebabkan lantai yang likat dan licin, maka anak-anakku mulai menangis kerana takut jatuh.
Aku menarik nafas panjang dan sabarkan hati melihat kerenah anak-anak kecilku. Cepat-cepat kusedarkan diriku sendiri bahawa aku masih dalam pantang. Eloklah bertenang, tidak panik apatahlagi menjerit terkejut. Segera aku menelefon suamiku yang ketika itu keluar sebentar pergi ke kedai agar pulang segera dan menyaksikan apa yang berlaku di rumah. Hanya Tuhan yang tahu bagaimana bersepahnya rumahku ketika itu. Untuk menenangkan perasaan aku anggap sahaja anak-anakku begitu cerdik membuat persamaan antara telur dengan bola sehingga berjaya membina lautan telur di dalam rumah. Aku berkomunikasi dengan mereka sementara menunggu kepulangan suamiku dari kedai.
Sunday, January 23, 2011
Mandi Minyak
Dengan tidak sabar anak-anakku menunggu bila agaknya air hendak penuh ke dalam kolam plastik yang kubentang di tepi rumah. Semuanya sudah bersedia untuk berenang di dalam kolam mini yang kenit dan sempit itu. Masing-masing bercakap-cakap antara satu sama lain, riuh dan becok sekali mulut comel mereka. Bila air sudah separuh kolam, akupun membenarkan anak-anak masuk ke dalam kolam. Ada yang masuk ke dalam kolam dengan melompat, ada yang terbang, ada yang cecahkan kaki sebelah dahulu dan ada yang dimasukkan ke dalam kolam. Bermacam gaya masuk ke kolam renang. Memang seronok melihat gelagat anak-anak bermain air. Hendak tunggu waktu cuti baru dapat bawa anak-anak mandi di pantai, lama lagi. Dengan adanya kolam plastik buatan ini, dapatlah anak-anakku mandi sambil berenang setiap hari sampai mereka puas bahkan sampai mereka jemu.
Bila air sudah penuh, anak-anakku pula sudah berendam dalam air sambil main percik-percik air, aku mulai penat menunggu mereka. Tambahan pula aku perlu masuk ke dalam rumah untuk memasak. Lalu kutinggalkan anak-anakku berempat bermain air dalam kolam kecil itu. Harap-harap tiada yang lemas. Sebelum itu kututup dahulu kepala paip agar air tidak melimpah dan berlaku pembaziran. Aku berpesan kepada anak sulongku agar menjaga adik-adik dan bermain elok-elok.
Sepanjang memasak, hilai tawa anak-anakku sentiasa kedengaran. Tiada langsung suara tangisan atau suara yang mencemaskan. Seronok benar mereka dengan sorak-sorai dan jerit-pekik kegembiraan. Selesai memasak aku keluar semula untuk menamatkan permainan mereka dengan kolam mandi buatan itu dan membawa mereka masuk ke rumah. Tetapi alangkah terkejutnya aku bila sampai ke kolam berkenaan, aku mendapati semua anakku berwarna hitam. Maka aku terus bertanya mengapa mereka jadi begitu. Anak-anakku dengan becoknya menjelaskan bahawa mereka telah menambah air kolam yang semakin cetek (kerana banyak terpercik keluar) dengan sebotol cecair. Bila kuperiksa botolnya, kudapati ia adalah minyak hitam kenderaan yang diperolehi daripada kabinet kasut berdekatan dengan tempat letak kereta di rumahku. Betapa mendidihnya hatiku. Ini kerana aku takutkan bahaya minyak hitam tersebut terhadap anak-anakku. Apatahlagi mereka mandi dengannya. Lebih kutakuti apabila mereka tertelan minyak tersebut. Satu lagi masalah ialah hendak membersihkan mereka. Aduh! Manalah tak geram dibuatnya.
Kesabaranku teruji. Dan ternyata aku tak dapat bersabar lagi apabila terpaksa memandikan mereka empat kali setiap orang kerana minyak hitam tersebut terlalu likat dan tidak mudah ditanggalkan dari badan. Sebatan hinggap juga dibadan. Setelah itu aku membawa mereka semua berjumpa dengan doktor untuk memastikan anak-anak selamat daripada bahaya minyak terlarang itu. Dalam hati aku berkata, mungkin anak-anakku tak akan mandi minyak jika kolam plastik itu tiada. Akukah yang bersalah kerana membelikan mereka kolam plastik? Atau salahkah aku meninggalkan mereka sebentar untuk memasak dan menyediakan makanan mereka? Apapun, anak-anak memang kreatif.
Saturday, January 22, 2011
Dokumen Terbang
Dalam perjalanan pulang, aku memandu seperti biasa dan anak-anakku yang tiga orang (5 tahun dan kembar 3 tahun duduk di belakang. Oleh kerana kereta tersebut tiada air-cond, maka aku buka semua tingkap kereta agar ada peredaran udara keluar dan masuk ke dalam kereta seterusnya mengelakkan kepanasan. Anak-anak pula suka menjengukkan kepala mereka ke tingkap sambil bergurau dan bergelak ketawa. Dalam usia begitu macam bahaya juga bila anak-anak menjengukkan kepala ke tingkap. Sebab itu aku tinggalkan sedikit cermin, tingkap tidak dibuka sepenuhnya, ada lagi suku yang tertutup dan anak-anak tidak tahu membukanya. Kerana memandu sambil memerhatikan gelagat anak-anak melalui cermin pandang belakang, maka aku memandu tidak laju sehingga sampai ke rumah.
Tiba di rumah, aku turunkan semua anak-anak dan semua barang yang patut dikeluarkan dari kereta. Namun ada satu barang penting yang tiada iaitu kad-kad klinik anak-anakku. Aku mencari ke sana dan kemari dalam kereta. Aku selongkar dalam beg dan bawah kusyen kereta serta semua poket yang terdapat dalam kereta lamaku. Tidak ada juga. Akhirnya aku bertanyakan anak-anakku kalau mereka tahu di mana kad-kad tersebut. Anak sulongku yang berusia lima tahun menjawab, "Tadi adik main kad, buat jet, terbang-terbang!" Tiba-tiba aku jadi panik dengan jawapan itu. Aku bertanya lagi, "Di mana?". Jawab anakku, "Ada. Kat sana." Aduh! mana aku nak cari kad klinik tu.
Aku tidak jadi masuk ke rumah bahkan dengan segera aku masukkan semula anak-anakku ke dalam kereta dan bawa mereka menelusuri jalan tadi. Kali ini pemanduanku lebih perlahan kerana ingin melihat-lihat jika ada kad yang kucari terletak di mana-mana. Memang benar. Selepas persimpangan Simpang Lima, berdekatan dengan Sekolah Menengah Dato' Onn, aku dapati kad-kad klinik anakku bertaburan di tepi jalan, satu di sini, satu di sana. Aku berhenti mengutipnya, mencari dan terus mengutip lagi satu persatu sehingga cukup empat keping semuanya. Hati menjadi lega kerana sudah menemui barang penting yang kucari. Fahamlah aku bahawa sepanjang perjalanan tadi anak-anakku asyik ketawa dan gembira ketika menjengukkan kepala di tepi tingkap kereta. Rupanya mereka seronok bermain dengan jet atau kapal terbang yang dibuat daripada dokumen klinik mereka sendiri yang sudah tentu penting dibawa semasa menjalani pemeriksaan setiap beberapa bulan sekali ke klinik.
Aku lega dapat kembali kad tersebut tapi penat dengan kerenah anak-anakku. Berulang alik, pergi dan balik tak tentu pasal bertambah kerja. Namun anak-anak tidak tahu kepenatanku. Mereka tahu gembira dan seronok saja. Hati rasa nak meradang tapi melihat gelagat mereka yang comel, sambil mata mereka terkedip-kedip, langsung memaparkan mereka tidak tahupun apa yang mereka lakukan menyusahkan aku (innocent), hatiku menjadi sejuk kembali. Gelihati pun ada bila fikirkan kreatifnya anak-anak. Semua barang boleh jadi permainannya. Selepas peristiwa itu, aku lebih berhati-hati menyimpan dokumen penting.
Thursday, January 20, 2011
Aduhai sibuknya...
| Berjaya tapi dilema; nak stay atau pindah SBP... |
Saturday, March 20, 2010
Private Time = Quality Time for Teen Children
Setiap anak ingin punya teman berbicara, ingin ada seseorang yang sudi berkongsi isi hati dan aspirasi serta mendengar masalah dan keluhan mereka. Kekadang aku juga kesempitan masa dengan urusan keluarga, kerjaya dan anak-anak yang majoritinya meningkat remaja. Namun aku cuba juga mencari ruang untuk mereka. Kekadang mereka perlukan masa yang privacy dengan ibu mereka. Maka aku akan bawa anak berkenaan makan di luar sambil mendengar anakku berbicara. Macam tak penting keluar berdua dengan anak tapi sebenarnya di situlah anak akan banyak bercerita tentang dirinya, kisahnya, masalahnya, impiannya, harapannya dan macam-macam lagi.
Tak perlu buat apa-apa melainkan jadi pendengar yang baik. Aku akan berikan beberapa cadangan jika melihat anakku seperti keliru atau tak tahu mana nak pilih/tuju. Kekadang jawapan tak boleh spontan sebab aku sendiri kurang arif mengenai sesuatu perkara yang dia musykil. Namun, selepas itu aku buat kaji selidik kecil dan akan memberitahunya dapatan yang diperolehi. Pengalaman ini menjadi kenangan manis bagi anakku sehingga pada suatu hari dia meluahkan, "Barulah Taqiy faham apa maksud ibu bapa perlu luangkan masa dengan anak-anak, sepertimana yang selalu tulis dalam karangan Bahasa Melayu tu." Waktu itu dia tingkatan 4. Kata-kata itu diluahkannya setelah satu masalah besarnya selesai selepas berbincang denganku melalui 'private & special time' yang aku peruntukkan dengannya.
Dengan itu aku juga sedar maksud 'quality time' bersama anak-anak.
Thursday, February 25, 2010
Musim anak-anak bersukan
Namun dari sudut yang lain pula, lebih mudah ibu bapa menyusun cara untuk mengembangkan potensi anak-anak kerana sedia maklum dengan potensi dan kelemahan mereka serta nampak dengan lebih dekat sumber-sumber yang boleh dimanfaatkan untuk mempertingkatkan kebolehan anak-anak. Aku cuba menjelaskan lebih detail apa yang akan mereka perolehi jika mereka berpindah satu sekolah dengan ibu bapa mereka. Soal perasaan yang kurang selesa, ia boleh diatasi dari semasa ke semasa. Bahkan perkongsian yang lebih dalam pelbagai aktiviti akan memberi ruang keserasian menyelinap masuk dalam sesuatu hubungan (kekeluargaan dsb) dengan lebih cepat dan pantas.
Tak sangka kembar yang lahir tak cukup bulan ini boleh berjaya dalam sukan. Semua Tuhan punya kuasa.Baru-baru ini sekolahku sememangnya sibuk dengan sukan merentas desa, sukantara, sukan kecil dan kemuncaknya adalah sukan besar (Kejohanan Olahraga) yang baru berakhir tengahari tadi. Semenjak sukan bermula, anak-anakku sudah sibuk berbincang dengana ayah mereka atau sesama mereka tentang target dan strategi. Seronok melihat mereka berbual-bual dan brainstorming sesama adik-beradik. Aku memang kurang mahir dengan hal-hal sukan. Tapi demi kejayaan anak-anakku, aku akan memberi sokongan 100% buat mereka. Ayah merekalah yang kerap coach mereka tentang sukan dan permainan, tektik dan strategi. Aku cuma bahagian sokongan saja.
Syukur kerana akhirnya kebanyakan sasaran mereka tercapai. Dalam olahraga, anak perempuanku memperolehi pingat perak acara lempar cakera. Tapi dalam larian, dia out. Salah satu kembar pula mendapat 2 perak dan 2 emas (semua acara larian). Manakala kembar yang seorang lagi memperolehi 4 emas dan diberi anugerah Olahragawan sekolah 2010. Walaupun aku kurang minat sukan, namun aku tetap gembira dengan kejayaan mereka, dari mula mereka menyusun langkah, sehingga terpaksa menghadapi beberapa cabaran, dan akhirnya semangat dan usaha mereka terbukti berhasil. Tuhanlah yang menganugerahi semua ini.
Seronok tenguk anak-anak remajaku bersukan (di sekolah) dengan sepenuh hati. Kejayaan dan kegembiraan anak-anak adalah kejayaan dan kegembiraan seorang ibu.
Wednesday, February 3, 2010
Kau Pergi Jua
Luruh jiwaku
Berguguran airmataku
Menatap tubuh yang kaku
Pucat dan lesu, beku dan bisu
Tergamam tanpa kata
Kosong tiada bicara
Puluhan mata digenangi kaca
Ingin berkata namun tiada suara
Wajah-wajah suci menjadi kusam
Disirami air mata sepanjang malam
Sudah berminggu bahkan berbulan
Tak tertahan meratap kesedihan
Apa salah anak-anak yang tidak berdosa
Terpaksa menerima kenyataan merentap rasa
Atau inikah ujian dari Yang Maha Kuasa
Moga anak-anak umi Nailah jiwanya tetap sasa
Biarpun tubuh longlai dipanah berbisa
Kak Nailah dalam memoriku
Tidak kulupa kebaikanmu
Jarang kutemui wanita semulia dan setabahmu
Satu dalam seribu
Terlalu cepat masa berlalu
Setelah perpisahan itu
Tak pernah sempat berbicara lagi denganmu
Kita terpisah oleh garisan jarak dan waktu
Lemahnya aku
seharian menangisi pemergianmu
makan dan minum tiada lagi menentu
teringat selalu anak-anakmu
yang kini serba piatu
Namun syukurku
sempat kumenatap wajahmu
sempat kuhadir disisimu
mengusap kulitmu, mencium pipimu
mendengar bisikanmu kian lesu
menatap sendiri saratnya kesakitanmu
tidak tertanggung kepedihan hatiku
meronta jiwaku berhamburan airmataku
Tepat seperti yang dijanjikan
33 hari setelah dia menelefonku
3 hari setelah aku mengunjunginya
kau pergi buat selamanya
meninggalkan anak-anakmu
dan seluruh penderitaanmu
tepatnya janji Tuhan tidak terkurang
atau terlebih walau sesaatpun.
Biarpun sudah melihat sendiri ketenatannya, dalam hati aku masih berharap dan berdoa agar dia akan pulih dan sembuh seperti sedia kala. Aku ingin berbicara lagi dengannya. Tak puas bertemunya. Namun siapalah aku untuk menolak kudrat Tuhan yang Maha Esa. Pabila pemiliknya memanggil namanya, terpaksa kurelakan biarpun berat merasakan. Kak Nailah, kau pergi jua......
Buat Hafsah ... teruskan langkahmu
Abdullah & Bilal ... tabahkan hati, kuatkan semangat memimpin hidup kalian dan adik-adik,
Ilyas ... umi memang tiada gantinya namun mak masih ada dan dapat rasa apa yang anak mak rasa,
Yusuf & Zainab ... iringi airmatamu dengan titipan yassin buat umi dan ayah
Fatimah dan Ahmad ... umi bahagia di syurga.
Antara Gembira dan Sedih
(Dicatat pada 2 Januari 2010)
Semalam, 1 Januari 2010 adalah satu tarikh yang mengungkapkan rasa gembira dan sekaligus rasa duka pada diriku.
Kira-kira jam 11.00 pagi aku menerima panggilan telefon dari seorang yang telah kuanggapnya sebagai kakak dan saudaraku dari Terengganu. Panggilannya memang kutunggu-tunggu setelah kami terpisah kira-kira 15 tahun yang lalu kerana dari Kuala Lumpur aku berpindah ke Johor dan keluarga Puan Nailah pula berpindah ke Perak. Pernah sekali aku bertemu dengannya kira-kira 7 tahun lalu ketika aku menziarahinya di Kuala Terengganu sebaik sahaja kematian suaminya akibat kanser. Ketika itu dia sudah berpindah pula ke Kuala Terengganu. Setelah itu kak Nailah berpindah dan aku juga berpindah rumah dan kami putus hubungan lagi.
Panggilan kali ini kutunggu setelah salah seorang anak kak Nailah yang menggunakan nama samaran meminta nombor telefonku melalui instant message YM. Malangnya panggilan kali ini membawa berita duka dan sedih. Kak Nailah menghidap kanser tahap 4 dan telah beberapa kali menjalani kemoterapi selain sekali pembedahan. Aku terkejut dan sedih.
Namun berita gembiranya aku menemui semula anak susuan yang terpisah, bertemu sekali hampir sedekad yang lalu dan putus hubungan lagi sehingga kini. Dialah yang sering menghubungiku sejak akhir-akhir ini dengan nama samaran di YM. Tekaanku semakin pasti bila dia menyebut nama ibu kandungnya, Nailah. Dan kini sudah benar-benar pasti dialah bayi kecil yang pernah kuberikan ihsan dari darah dagingku sendiri 16 tahun dahulu.
Satu peristiwa yang membawa dua berita saling bertentangan antara satu sama lain; berita sedih dan gembira ini telah membuat airmataku deras mengalir sederas hujan lebat yang turun di luar sana. Terharu dan gembira dapat bertemu Ilyas semula namun sedih dengan situasi yang ditanggung oleh ibu kandungnya. Tuhan lebih mengetahui.
Apakah hidup ini sebuah suratan atau kebetulan?
Sunday, January 24, 2010
Seronok anak-anak satu sekolah
Dulu anak-anakku bersekolah di sekolah lain memandangkan faktor-faktor tertentu. Namun kini seronok dan gembira sekali mereka semua sudah berada di sekolah yang sama dengan tempatku bekerja.
Anak perempuanku (form 3) sememangnya belajar di sekolah ini dari form one di kelas Rancangan Khas. Anak-anak kembarku sudah tingkatan 4 kini. Seorang daripadanya layak masuk ke kelas pertama (Sains Tulen). Namun atas sebab-sebab tertentu aku letakkan keduanya di kelas yang sama (Sains Teknologi). Berhari-hari juga aku memikirkan soal streaming class anakku. Soal selidik sudah, kaji selidik sudah, istikharah sudah, airmatapun sudah. Finally, this is the choice. Harap Tuhan memberi kebaikan yang banyak kepada mereka.
Baru-baru ini ada pertandingan merentas desa peringkat sekolah. Seorang mendapat tempat ke-10, seorang tempat ke-4 dan seorang lagi tempat pertama. Tak kiralah tempat keberapapun. Yang penting aku lega mereka membesar di depan mataku sendiri.
Children are our most valuable natural resource.
Thursday, December 24, 2009
Sebutir Kacang Secebis Perhatian
Setelah itu aku mencapai suratkhabar untuk dibaca sambil melepak di depan TV. Anak kecilku yang berusia tiga tahun itu sentiasa mengekoriku ke mana pun aku pergi dan apapun yang aku lakukan. Kami memang rapat. Secara terus terang aku memberitahunya bahawa aku ingin membaca suratkhabar pula setelah penat bermain bersamanya. Anakku mengiyakan permintaanku dan aepanjang aku membaca suratkhabar, mulutnya tidak berhenti bercakap seorang diri dengan kereta-kereta mainannya. Lagaknya persis sedang menyusun dialog untuk kereta-kereta itu berbicara sesama mereka. Sungguh bijak anak kecil ini, bisik hatiku.
Mungkin kerana kepenatan, maka aku terlelap ketika suratkhabar belum habis kubaca. Tiba-tiba aku terasa seperti ada sesuatu yang mengganggu di telinga kananku. Oleh kerana tidak selesa, maka aku menggosok-gosok lubang telingaku. Ketika itulah kusedari hujung jariku tersentuh suatu benda seperti kacang. Lalu aku terkejut dan benar-benar terjaga dari tidur. Kulihat anakku sedang makan kacang di sisiku. Memang sah benda yang masuk ke dalam telingaku sebentar tadi ialah kacang. Dan memang sah anakkulah yang telah memasukkannya ke dalam telingaku ketika aku tertidur sebentar tadi.
Aku cuba dan terus mencuba untuk mengeluarkannya namun tidak berjaya. Akhirnya aku ke klinik dan doktor mengeluarkan sebutir kacang yang sudah terbelah dua dari dalam telinga kananku. Doktor menunjukkan kacang itu kepadaku dan anak kecilku yang kubawa bersama ketika menemui doktor. Ketika menjawa pertanyaan doktor mengapa dia memasukkan kacang ke dalam telingaku, maka anakku menjawab dengan keletah dan comelnya, "Irfan nak mama bangun. Irfan nak makan kacang dengan mama." Kata-katanya disambut dengan senyuman oleh doktor, jururawat dan aku sendiri yang merasakan lucu dengan peristiwa itu.
Aku pulang dari klinik dengan rasa lega dan lucu. Namun peristiwa itu membuat aku berfikir pintarnya seorang kanak-kanak kecil yang cuba meraih perhatian ibunya. Dia tidak memahami ibunya sedang penat atau apa yang dilakukannya bahaya. Dia hanya tahu dia inginkan perhatian.
Sesuatu tingkahlaku luar biasa yang dilakukan oleh anak-anak pasti mempunyai mesej tertentu. Jika ibu bapa memahaminya, pasti mereka akan mengatakan anaknya pintar dan cerdik. Namun jika ibu bapa gagal memahami mesejnya, maka selalunya anak-anak yang melakukan sesuatu yang pelik akan dilabel sebagai nakal. Sesungguhnya kanak-kanak belajar daripada pengalaman, percubaan dan aktiviti permainannya. Yang nyata, kanak-kanak inginkan selalu diberi perhatian!
Friday, December 11, 2009
Demi gigi yang cantik
Hari ini baru dapat braces dipasang ke gigi anakku setelah pemeriksaan, mencetak struktur gigi, dua cabutan, memasang getah dan memasang besi anchor. Doktor menasihatkan agar gigi dibesihkan dengan teliti untuk mengelakkan kotoran termendap seterusnya menghalang kelancaran pergerakan gigi. Untuk menjadikan pergerakan gigi lebih lancar, maka gigi perlu dijaga dengan bersih, pemakanan lembut tetapi berkhasiat dan tidur mencukupi. Lebih baik lagi, makanan diblend atau dikisar untuk mengurangkan gangguan gusi, mulut dan braces yang dipasang. Sebulan pertama memakai braces adalah tempoh masa fragile. Justeru aku menasihatkan anakku agar tidak melibatkan diri dalam sparing taekwando melainkan latihan biasa sahaja. Ini untuk mengelakkan kesulitan apabila berlaku kemalangan ketika perlawanan.
Apapun sikap yang konsisten penting sehingga gigi benar-benar tersusun. Bukan mudah nak korbankan gigi dan keselesaan makan. Bayarannya juga bukan murah. Hampir RM4000 beb!
Wednesday, November 18, 2009
Hari Pertama anakku SPM
Sebelum ke sekolah, aku sempat bercakap dan berpesan kepadanya.
Aku: Mak tak hantar Taqi ke sekolah ya hari ini. Mak nak hantar pun Taqiy kata tak payah.
Taqiy: Tak pa mak. Taqiy tak kisah. Taqiy pergi sekolah dengan Abu (rakan yang sering membonceng motosikal dengannya).
Aku: Walaupun mak tak ke sekolah Taqiy, mak tetap hantar doa untuk Taqiy. Insya Allah solat hajat dan dhuha diiringi doa dan yassin dari tempat kerja mak. Semoga Taqiy berjaya dengan cemerlang.
Taqiy: terima kasih, mak.
Aku: Dapat saja kerta soalan, pastikan semua muka surat cukup. Masa tu juga minta jika tak cukup. Untuk elak buang masa ketika menjawab. Baca arahan sepenuhnya dan jawab ikut kehendak soalan.
Taqiy: Insya Allah, mak.
Aku: Jangan lupa baca salawat, ayat seribu dinar dan lain-lain yang Taqiy tahu.
Setelah bersalaman, aku beredar. Anakku bertolak kemudiannya dengan RXZnya.
Di tempat kerja aku tidak lupa janjiku untuk mendoakannya setelah menyelesaikan kedua-dua solat. Ditambah dengan bacaan yassin memohon kesejahteraan dan semua yang patut. Kebetulan hari ini banyak kelas dicutikan. Guru-guru hanya menyudahkan tugasan akhir tahun termasuk aku. Jadi tidak salah rasanya aku ambil kesempatan ini untuk mengiringi anakku dengan doa. Hanya itulah caranya berusaha di saat begini. Semoga Tuhan permudahkan jalan anakku, Taqiy. Untuk menguatkan lagi, syukur aku dapat berpuasa hari ini, sepertimana aku lakukan semasa Ilham dan Ihsan menjalani PMR mereka bulan Oktober lalu.
Semua itu hanyalah usaha dan ikhtiar yang mengiringi doa dan harapan. Semoga Tuhan melimpahi hidupku, anak-anakku dan semua zuriat keturunanku dengan rahmat dan keberkatan serta kesejahteraan hidup yang berpanjangan. Amin.
Monday, November 16, 2009
Menghadiri Restu Ilmu SPM anak sulongku
Pabila tiba saat peperiksaan begini, bukan hanya anak yang merasa cemasnya namun aku sebagai ibunya lebih-lebih lagi. Apa yang mampu kulakukan ialah memberi ingatan dan berdoa untuk kejayaannya. Soal usaha dan ikhtiar, rasanya sudah dilakukan walaupun kurang pasti untuk mengukur cukup atau tidaknya. Di saat akhir begini hanya berserah kepada yang Maha Esa untuk memberikan yang terbaik buat anakku yang sudah pasti selalu kusebut dalam doaku.
Antara pesan Pengetua yang kukumpul untuk peringatan ibu bapa:
- Ingatkan anak
- Doakan anak, sebut dalam doa
- Solat hajat
- Masak untuk anak
- Iringi studinya
- Sediakan air susu ketika studinya
- Berkomunikasi dengan anak
- Berkawan dengan anak
- Sebut perkataan yang baik2
- Berikan sokongan sepenuhnya
- Kawal marah
- Berpuasa dan yasin ketika anak menjalani peperiksaan (dan sebelum itu)
Antara pesan Pengetua yang kukumpul untuk peringatan anak-anak:
- Tidur awal
- Tidur berkualiti (tidur masa lena; 12, 1, 2 dan 3)
- Studi awal, jangan last minute
- Study group
- Kelas tambahan jika perlu
- Banyakkan latihan
- Banyakkan membaca dari pelbagai sumber
- Sediakan nota panjang, pendek dan ringkas
- Taat suruhan agama
- Hormat ibu bapa dan guru
- Solat usat ditinggal
- Amalkan berpuasa
- Solat hajat
- Berdoa secara tepat
- Berkongsi ilmu dengan kawan
- Ambil sarapan pagi
- Makan pada waktunya
- Bertakwa dan Bertawakkal
Friday, October 3, 2008
Paksi Keluarga

Kata orang, jika ingin menilai diri, lihat dan bandingkan prestasi sendiri dan jangan bandingkan kita dengan orang lain kerana ia tidak adil. Mungkin kerana tahap dan keadaan kita tidak sama dengan orang lain. Masalah dan apa yang dialami juga berbeza. Cara menghadapi, menilai dan menyelesaikan sesuatu juga tidak sama. Maka kita nilailah diri kita dengan ukuran diri kita sendiri. Begitu juga dengan aku.
Raya kali ini lebih bermakna untukku. Mengapa? Ehm... barangkali didorong oleh anak-anak yang semakin membesar, pandai demand nak makan sesuatu, maka akupun memasak hidangan yang agak lengkap untuk hari raya. Selalunya aku masak membantu kakak dan emak. Namun kali ini secara solo. Paling tidakpun dibantu oleh anak-anak. Cuma lemang sahaja yang suamiku beli. Aku bersyukur kerana dapat menyediakan rendang, ketupat, sambal kacang, kuah lodeh, paru-paru goreng dan lain-lain yang digemari anak-anak. Melihat mereka makan sememangnya suatu yang menyeronokkan dan sangat membahagiakan. Sebenarnya sudah sebulan aku merehatkan pembantu rumah daripada memasak, iaitu sepanjang bulan Ramadhan. Langsung aku tidak benarkan dia memasak lagi. Jawapannya tidak lain melainkan anak-anak dan suami mahukan air tanganku. Sudah jemu dengan air tangan orang lain. Syukur.
Sudah 17 tahun aku berumahtangga. Anak sulongku sudah berusia 16 tahun. Sudah banyak gambar-gambar keluarga diambil dan dialbumkan. Aku juga sudah melalui kerjaya sebagai fotografer dan mempelajari pelbagai teknik fotografi. Sebagai perakam dan penyunting video pula, aku telah merakam beberapa kenangan keluarga dalam bentuk dokumentari. Namun ada satu perkara yang sekalipun aku belum tergerak hati untuk melakukannya iaitu memfremkan dan menggantungkan foto keluarga di dinding rumahku. Lalu pada musim hari raya kali ini aku merakam foto kenangan keluarga, mengedit ringkas, memfremkan dan menggantungkannya di satu sudut dinding rumahku. Biarpun bagi orang lain ini satu perkara biasa, namun aku sangat menghargai kelainan yang kulakukan pada kali ini dalam mengabadikan kenangan raya bersama keluarga.
Memiliki keluarga ini membuatkan aku rasa insaf kerana:
1. Aku bersyukur kerana dianugerahi Tuhan keupayaan melihat dan menghargai keluarga. Biar sesusah mana sekalipun, kesejahteraan sekeluarga terutamanya anak-anak adalah tunjang kebahagiaan. Maka berikanlah perhatian terhadap kepentingan anak-anak dan keluarga.
2. Hargailah setiap saat bersama keluarga sementara mereka ada bersama kita dan kita bersama mereka. Kita tidak tahu saat bila semua pinjaman ini terpaksa kita lepaskan pergi.
3. Anak-anak adalah akar yang menunjangi keyakinan diriku untuk bergerak, berubah, tetap, maju, mundur, naik dan turun, berkeras, berlembut, bertegas atau bertolak ansur dalam banyak hal.
4. Anak-anak mendorongku menjadi kreatif.
5. Anak-anak pandai memujuk dan menghargaiku.
6. Anak-anak mengajarku erti kasih sayang, penghargaan, pengorbanan, perjuangan dan makna hidup.
7. Suami sebagai pelindung dan pemudah cara dalam banyak keadaan.
Jika dahulu aku tidak sempat menilai diri kerana berhempas pulas membesarkan anak-anak kecil yang banyak kerenahnya, kini aku dapat melihat hikmahnya. Ku berdoa semoga kehidupan keluarga ini dan semua keluarga muslimin dan muslimat sentiasa dirahmati dan diberkati sepanjang masa.
Sunday, September 21, 2008
Erti Hari Raya
Di kampung, budaya munjung atau menghantar makanan yang siap dimasak untuk kaum keluarga, saudara mara, jiran tetangga dan handai taulan sudah seminggu menguliti suasana. Hari ini aku menerima munjungan lagi. Pendek kata, lauk-lauk mentah di peti sejuk terbiar kaku, tidak dimasak. Setiap hari banyak makanan terhidang hasil punjungan. Jika masakpun hanya untuk menambah sahaja untuk pencuci mulut seperti puding kuah, puding agar-agar, pengat pisang dan lain-lain mengikut selera keluarga.
Di bandar pula, kelihatan ramai berpusu-pusu mengunjungi pusat membeli belah dan kedai-kedai untuk membeli pakaian, kuih muih dan persiapan yang perlu. Tahun ini aku membeli pelita kecil untuk diletakkan di sekeliling rumah agar nampak sedikit ceria dan meriah. Ia lampu tradisional. Anak-anak yang beria sangat mahukan pelita ini dan aku menurutkan sahaja. Lagipun mudah untuk anak-anak menyuntik bunga api. Baru nampak meriah sikit. Sebelum ini tak pernahpun aku pasang pelita untuk hari raya. Semuanya kerana anak-anak.
Budaya menyambut hari raya menyatukan bandar dan desa dan mengeratkan muhibbah sesama kita. Kanak-kanak lebih-lebih lagi menghidupkan suasana meriah di musim hari raya. Biarpun zaman telah jauh berubah daripada dahulu, namun hari raya sedikit sebanyak tetap menggamit 'sentimental value' yang tersendiri.
Segarkan Minda:
Meriah suasana raya kerana anak-anak. Mereka sebenarnya sedang mempelajari dan mengenali sebahagian daripada nilai dan budaya bermasyarakat melalui kemeriahan hari raya. Semoga kemaafan dihulur di hari bahagia ini.

.jpg)



