Subscribe to RSS feeds

Sunday, September 21, 2008

Erti Hari Raya

Hari raya kian menjelma. Di sana dan di sini, kelihatan suasana yang semakin sibuk. Biarpun ekonomi meleset, membeli belah untuk persediaan hari raya sudah menjadi budaya. Sukar dibuang resam ini biarpun iklim persekitaran sedikit berubah.

Di kampung, budaya munjung atau menghantar makanan yang siap dimasak untuk kaum keluarga, saudara mara, jiran tetangga dan handai taulan sudah seminggu menguliti suasana. Hari ini aku menerima munjungan lagi. Pendek kata, lauk-lauk mentah di peti sejuk terbiar kaku, tidak dimasak. Setiap hari banyak makanan terhidang hasil punjungan. Jika masakpun hanya untuk menambah sahaja untuk pencuci mulut seperti puding kuah, puding agar-agar, pengat pisang dan lain-lain mengikut selera keluarga.

Di bandar pula, kelihatan ramai berpusu-pusu mengunjungi pusat membeli belah dan kedai-kedai untuk membeli pakaian, kuih muih dan persiapan yang perlu. Tahun ini aku membeli pelita kecil untuk diletakkan di sekeliling rumah agar nampak sedikit ceria dan meriah. Ia lampu tradisional. Anak-anak yang beria sangat mahukan pelita ini dan aku menurutkan sahaja. Lagipun mudah untuk anak-anak menyuntik bunga api. Baru nampak meriah sikit. Sebelum ini tak pernahpun aku pasang pelita untuk hari raya. Semuanya kerana anak-anak.

Budaya menyambut hari raya menyatukan bandar dan desa dan mengeratkan muhibbah sesama kita. Kanak-kanak lebih-lebih lagi menghidupkan suasana meriah di musim hari raya. Biarpun zaman telah jauh berubah daripada dahulu, namun hari raya sedikit sebanyak tetap menggamit 'sentimental value' yang tersendiri.

Segarkan Minda:
Meriah suasana raya kerana anak-anak. Mereka sebenarnya sedang mempelajari dan mengenali sebahagian daripada nilai dan budaya bermasyarakat melalui kemeriahan hari raya. Semoga kemaafan dihulur di hari bahagia ini.