Subscribe to RSS feeds

Thursday, February 25, 2010

Lengkap kini keluargaku

Lengkap kini keluargaku...

Anak-anakku.

Musim anak-anak bersukan

Saat menggembirakan

Masa mula-mula aku ingin memindahkan anak-anak kembarku ke sekolah tempat aku bekerja, mereka keberatan. Maklumlah, bila ibu bapa satu sekolah dengan anak-anak mungkin anak-anak akan rasa agak terkongkong. Aku faham perasaan mereka dan mereka pernah menyuarakannya.

Namun dari sudut yang lain pula, lebih mudah ibu bapa menyusun cara untuk mengembangkan potensi anak-anak kerana sedia maklum dengan potensi dan kelemahan mereka serta nampak dengan lebih dekat sumber-sumber yang boleh dimanfaatkan untuk mempertingkatkan kebolehan anak-anak. Aku cuba menjelaskan lebih detail apa yang akan mereka perolehi jika mereka berpindah satu sekolah dengan ibu bapa mereka. Soal perasaan yang kurang selesa, ia boleh diatasi dari semasa ke semasa. Bahkan perkongsian yang lebih dalam pelbagai aktiviti akan memberi ruang keserasian menyelinap masuk dalam sesuatu hubungan (kekeluargaan dsb) dengan lebih cepat dan pantas.

Tak sangka kembar yang lahir tak cukup bulan ini boleh berjaya dalam sukan. Semua Tuhan punya kuasa.

Baru-baru ini sekolahku sememangnya sibuk dengan sukan merentas desa, sukantara, sukan kecil dan kemuncaknya adalah sukan besar (Kejohanan Olahraga) yang baru berakhir tengahari tadi. Semenjak sukan bermula, anak-anakku sudah sibuk berbincang dengana ayah mereka atau sesama mereka tentang target dan strategi. Seronok melihat mereka berbual-bual dan brainstorming sesama adik-beradik. Aku memang kurang mahir dengan hal-hal sukan. Tapi demi kejayaan anak-anakku, aku akan memberi sokongan 100% buat mereka. Ayah merekalah yang kerap coach mereka tentang sukan dan permainan, tektik dan strategi. Aku cuma bahagian sokongan saja.

Syukur kerana akhirnya kebanyakan sasaran mereka tercapai. Dalam olahraga, anak perempuanku memperolehi pingat perak acara lempar cakera. Tapi dalam larian, dia out. Salah satu kembar pula mendapat 2 perak dan 2 emas (semua acara larian). Manakala kembar yang seorang lagi memperolehi 4 emas dan diberi anugerah Olahragawan sekolah 2010. Walaupun aku kurang minat sukan, namun aku tetap gembira dengan kejayaan mereka, dari mula mereka menyusun langkah, sehingga terpaksa menghadapi beberapa cabaran, dan akhirnya semangat dan usaha mereka terbukti berhasil. Tuhanlah yang menganugerahi semua ini.

Seronok tenguk anak-anak remajaku bersukan (di sekolah) dengan sepenuh hati. Kejayaan dan kegembiraan anak-anak adalah kejayaan dan kegembiraan seorang ibu.

Wednesday, February 3, 2010

Kau Pergi Jua

Detik 10.08 minit malam, beralun deringan dari Kuala Terengganu yang melebihi 500km jauhnya ke Batu Pahat, Johor, sayup-sayup kedengaran membawa berita pilu... umi Nailah menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 9.40 malam, baru sebentar tadi, 2 Februari 2010.

Luruh jiwaku
Berguguran airmataku
Menatap tubuh yang kaku
Pucat dan lesu, beku dan bisu

Tergamam tanpa kata
Kosong tiada bicara
Puluhan mata digenangi kaca
Ingin berkata namun tiada suara

Wajah-wajah suci menjadi kusam
Disirami air mata sepanjang malam
Sudah berminggu bahkan berbulan
Tak tertahan meratap kesedihan

Apa salah anak-anak yang tidak berdosa
Terpaksa menerima kenyataan merentap rasa
Atau inikah ujian dari Yang Maha Kuasa
Moga anak-anak umi Nailah jiwanya tetap sasa
Biarpun tubuh longlai dipanah berbisa

Kak Nailah dalam memoriku
Tidak kulupa kebaikanmu
Jarang kutemui wanita semulia dan setabahmu
Satu dalam seribu
Terlalu cepat masa berlalu
Setelah perpisahan itu
Tak pernah sempat berbicara lagi denganmu
Kita terpisah oleh garisan jarak dan waktu

Lemahnya aku
seharian menangisi pemergianmu
makan dan minum tiada lagi menentu
teringat selalu anak-anakmu
yang kini serba piatu

Namun syukurku
sempat kumenatap wajahmu
sempat kuhadir disisimu
mengusap kulitmu, mencium pipimu
mendengar bisikanmu kian lesu
menatap sendiri saratnya kesakitanmu
tidak tertanggung kepedihan hatiku
meronta jiwaku berhamburan airmataku

Tepat seperti yang dijanjikan
33 hari setelah dia menelefonku
3 hari setelah aku mengunjunginya
kau pergi buat selamanya
meninggalkan anak-anakmu
dan seluruh penderitaanmu
tepatnya janji Tuhan tidak terkurang
atau terlebih walau sesaatpun.

Biarpun sudah melihat sendiri ketenatannya, dalam hati aku masih berharap dan berdoa agar dia akan pulih dan sembuh seperti sedia kala. Aku ingin berbicara lagi dengannya. Tak puas bertemunya. Namun siapalah aku untuk menolak kudrat Tuhan yang Maha Esa. Pabila pemiliknya memanggil namanya, terpaksa kurelakan biarpun berat merasakan. Kak Nailah, kau pergi jua......

Buat Hafsah ... teruskan langkahmu
Abdullah & Bilal ... tabahkan hati, kuatkan semangat memimpin hidup kalian dan adik-adik,
Ilyas ... umi memang tiada gantinya namun mak masih ada dan dapat rasa apa yang anak mak rasa,
Yusuf & Zainab ... iringi airmatamu dengan titipan yassin buat umi dan ayah
Fatimah dan Ahmad ... umi bahagia di syurga.

Antara Gembira dan Sedih

(Dicatat pada 2 Januari 2010)

Semalam, 1 Januari 2010 adalah satu tarikh yang mengungkapkan rasa gembira dan sekaligus rasa duka pada diriku.

Kira-kira jam 11.00 pagi aku menerima panggilan telefon dari seorang yang telah kuanggapnya sebagai kakak dan saudaraku dari Terengganu. Panggilannya memang kutunggu-tunggu setelah kami terpisah kira-kira 15 tahun yang lalu kerana dari Kuala Lumpur aku berpindah ke Johor dan keluarga Puan Nailah pula berpindah ke Perak. Pernah sekali aku bertemu dengannya kira-kira 7 tahun lalu ketika aku menziarahinya di Kuala Terengganu sebaik sahaja kematian suaminya akibat kanser. Ketika itu dia sudah berpindah pula ke Kuala Terengganu. Setelah itu kak Nailah berpindah dan aku juga berpindah rumah dan kami putus hubungan lagi.

Panggilan kali ini kutunggu setelah salah seorang anak kak Nailah yang menggunakan nama samaran meminta nombor telefonku melalui instant message YM. Malangnya panggilan kali ini membawa berita duka dan sedih. Kak Nailah menghidap kanser tahap 4 dan telah beberapa kali menjalani kemoterapi selain sekali pembedahan. Aku terkejut dan sedih.

Namun berita gembiranya aku menemui semula anak susuan yang terpisah, bertemu sekali hampir sedekad yang lalu dan putus hubungan lagi sehingga kini. Dialah yang sering menghubungiku sejak akhir-akhir ini dengan nama samaran di YM. Tekaanku semakin pasti bila dia menyebut nama ibu kandungnya, Nailah. Dan kini sudah benar-benar pasti dialah bayi kecil yang pernah kuberikan ihsan dari darah dagingku sendiri 16 tahun dahulu.

Satu peristiwa yang membawa dua berita saling bertentangan antara satu sama lain; berita sedih dan gembira ini telah membuat airmataku deras mengalir sederas hujan lebat yang turun di luar sana. Terharu dan gembira dapat bertemu Ilyas semula namun sedih dengan situasi yang ditanggung oleh ibu kandungnya. Tuhan lebih mengetahui.

Apakah hidup ini sebuah suratan atau kebetulan?