Subscribe to RSS feeds

Tuesday, May 26, 2015

Diam Tak Diam

Diam tak diam anak-anak sudah semakin dewasa. Satu demi satu pergi meninggalkan rumah untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Mulanya terasa sayu. Namun hati kena dicekalkan demi masa depan.

Jauh atau dekat, anak-anak tetap dekat di hati. Kecil atau besar, anak-anak masih seperti anak-anak kecil yang kita dukung dahulu. Begitulah perasaan ibu. Cuma cara melayan mereka sudah ikut kedewasaan mereka. Kalau masa kecil-kecil dahulu saya suka iringi anak-anak ke sekolah, kini saya masih suka iringi mereka ke mana mereka pergi walaupujn agak terhad.

Bersama anak-anak yang sudah dewasa di sebuah restoran Vegetarian di Melaka.

Contohnya mereka mahu pulang ke kampus atau mahu shopping atau sekadar makan sambil berbual-bual. Bukan dekat. Ada kalanya saya pergi ke tempat mereka sejauh Kuantan, Shah Alam, Kuala Lumpur atau Melaka. Dari Johor tentulah ia agak jauh. Namun saya rela memandu ke sana demi ingin temui anak. Bukan mahu berjumpa lama pun. Sekadar dapat bertanya khabar, berjumpa ala kadarnya, mendengar sedikit sebanyak cerita mereka. Semua itu sudah cukup mengubat rindu.

Kemudian saya memandu pulang. Hati rasa lega dan puas dapat jumpa anak-anak. Hati wanita tetap hati wanita, hati ibu tetap hati ibu walaupun diam tak diam anak-anak sudah berjauhan. Syukur atas semua nikmat Tuhan.