Subscribe to RSS feeds

Friday, August 8, 2014

'Fresh Milk'

Ketika itu saya bertugas mengawas peperiksaan SPM di sebuah sekolah menengah. Perginya pagi, pulangnya pula di waktu petang. Tiada pilihan. Terasa waktu cuti hujung tahun itu saya ingin berehat di rumah, namun arahan perlu dipatuhi dan tugas perlu dilaksanakan.

Waktu itu suami saya berada di kem latihan di utara tanah air untuk tempoh lebih daripada sebulan. Jadi tinggallah saya bersama empat orang anak yang berusia 2 tahun, 3 tahun (2 orang) dan 5 tahun. Manakala saya pula sedang mengandungkan anak yang kelima. Mujurlah usia saya waktu itu masih 27 tahun. Masih cergas. Tetapi setiap hari hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa penat dan letihnya menguruskan rumah, anak-anak dan kerjaya. Tiada pembantu. Suami pula berjauhan.

Oleh kerana setiap hari saya bekerja, waktu malam saya sudah kepenatan. Apatah lagi terpaksa bangun malam untuk membancuh susu anak-anak. Biasanya suami saya membantu jika dia ada. Tetapi terpaksa kesemuanya saya lakukan sendiri bila dia berjauhan. Saya tidak cukup rehat walaupun sedang mengandung. Makan juga tidak tentu walaupun perut lapar. Nasib baik saya mampu bertenang.

Lalu saya mencari jalan bagaimana untuk memudahkan urusan membancuh susu di waktu tengah malam. Maka saya mendapat satu idea. Tetapi idea tersebut harus dicuba terlebih dahulu. Kerap juga saya minum fresh milk terutama jika masa suntuk untuk bancuh susu tepung. Memang ringkas. Ia sesuai untuk saya. Tetapi adakah ia sesuai untuk perut anak-anak yang masih kecil? Lalu saya cuba. Ini bermakna stok fresh milk perlu banyak dalam peti sejuk. Bukan sekadar untuk saya namun untuk anak-anak juga sebagai stok untuk waktu malam. Ringkas dan cepat.

Maka pada hari yang berikutnya, setelah saya tamat mengawas peperiksaan SPM pada kira-kira jam 5.30 petang, sayapun menjemput anak-anak dari pusat jagaan kanak-kanak. Sebelum terus pulang, kami singgah di satu supermarket besar yang selalu saya kunjungi untuk membeli barangan keperluan termasuk fresh milk. Sebaik sahaja kereta parking, saya menoleh ke belakang dan membuat MOU (perjanjian) dengan anak-anak. Saya jelaskan kepada mereka bahawa selepas ini kita semua akan masuk supermarket untuk membeli fresh milk. Anak-anak diminta ikut sahaja dan tidak menyentuh dan memegang apa-apa barang. Saya bercakap dalam bahasa yang mereka faham. Mereka angguk. Mereka setuju. Ada yang menjawab 'faham'. Hati saya lega sebab anak-anak akan memberi kerjasama.

Kesemua anak saya dipakaikan baju warna oren. Kami berpegangan tangan berjalan masuk ke dalam supermarket. Mahu mendokong yang kecil yang dua tahun, tidak larat dalam keadaan mengandung, penat pulang dari kerja dan badannya pun montel dan chubby. Jadi semua berjalan sendiri. Namun kedua tangank saya memegang tangan dua orang anak. Yang lagi dua orang pegang tangan adik yang dapat pegang tangan ibunya. Melangkah sahaja masuk ke dalam supermarket, anak-anak kelihatan gembira kerana melihat banyaknya barang. Tapi saya ingatkan mereka supaya tidak memegang apa-apa. Ingat kepada janji. Mereka masih ikut.

Kami terus berjalan mencari rak yang menjual susu segar. Tiba-tiba dua orang lelaki di hadapan kami menegur. "Ramainya. Ayahnya mana?" Soal salah seorang daripada mereka. "Ayahnya kerja" jawab saya. "Semua ini anak kakak ke?" Soalnya. "Ya." Saya menjawab ringkas." Kemudian  seorang lagi berkata,"suburnya kakak!" Sempat pula dia membuat analisis tentang kesuburan saya. Hati saya tergelak sendiri. Tapi saya biarkan sahaja tanpa sebarang telahan. Daripada telo percakapan mereka menunjukkan mereka orang Indonesia. Saya terus berlalu bersama anak-anak saya.

Anak-anak saya mula melupakan janjinya yang dimeterai semasa di dalam kereta tadi. Budak-budak memang begitu. Baginya semua aktiviti semasa. Tiada kaitan dengan yang telah lepas. Sebab itu kanak-kanak selalu gembira dan mereka buat apa sahaja yang boleh mereka buat. Dunia mereka adalah dunia meneroka, dunia mencuba. Tangan mungil anak-anak saya mula menyentuh bungkusan-bungkusan biskut yang berwarna-warni di kiri kanan mereka. Saya hanya masukkan yang kecil ke dalam troli. Yang tiga lagi mengekori saya berjalan kaki.

Apabila satu persatu anak saya mengambil barangan yang sering menggoda mata-kanak-kanak itu, maka bermulalah kesibukan saya menyuruh mereka meletakkan barang itu kembali. Satu letak, satu ambil, satu letak, satu ambil. Bila saya letak barang dalam troli, mereka pun letak barang dalam troli. Agak kelam kabut sedikit saya waktu itu. Shopping sambil jaga anak-anak. Dalam pada itu gelagat kami masih diperhatikan oleh dua lelaki Indonesia tadi. Mereka juga mengekori kami sambil ketawa dengan gelagat anak-anak saya yang begitu teruja dengan barang-barang di supermarket itu. Mereka turut berkata, "Itu enggak bisa." Kadang-kadang, "Itu enggak dijual." Setiap kali mereka menegur, anak saya akan meletakkan kembali barang yang mereka sudah ambil.

Melihat kesibukan saya menjaga anak-anak lebih daripada memilih barang, maka kedua lelaki Indonesia itu berkata, "Kakak shoppinglah. Kami tolong tengokkan anak-anak kakak." Saya berkata, Terima kasih." Cepat-cepat saya memilih barang yang perlu termasuk fresh milk, gula, milo, biskut beberapa barangan keperluan. Sambil itu mata saya sentiasa jeling-jeling, memastikan anak-anak saya selamat. Dalam masa lebih kurang sepuluh minit saya memilih, kemudian selesai. Sebelum menolak troli ke kaunter pembayaran, saya mengucapkan terima kasih kepada dua lelaki Indonesia tadi. Saya terus ke kaunter pembayaran. Barangan yang dimasukkan oleh anak-anak dan tidak perlu saya asingkan semasa di kaunter. Saya hanya membayar barangan yang perlu sahaja.

Sebelum tidur malam, saya tuang fresh milk siap-siap ke dalam 4 botol susu anak-anak kecil saya dan saya simpan dalam peti sejuk. Sebelum mereka tidur, mereka minum susu tepung bancuh suam-suam seperti biasa. Tetapi menjelang tengah malam mereka akan minum fresh milk yang sudah saya siapkan. Bezanya ia sejuk. Masa membancuh susu 4 botol dapat dijimatkan. Rehat dapat dipanjangkan. Merungut dapat dikurang atau dielakkan. Anak-anak tetap dapat minum susu. Mungkin kelihatan sedikit ganas. Tapi saya cuba yang terbaik untuk anak-anak dan bayi yang saya kandung dalam keadaan seorang diri mengurus anak dan waktu kerja yang agak panjang dari pagi sampai petang.

Pada hari pertama saya cuba, saya bersyukur kerana anak-anak tidak mengalami sebarang simptom yang tidak diingini seperti sakit perut dan sebagainya. Bahkan mereka meneguk fresh milk dalam botol susu dengan berselera sambil menyambung tidur. Tidak ada sebarang penolakan walaupun susu tersebut sejuk. Keesokan paginya mereka bangun seperti biasa. Saya tanyakan pengasuh pusat jagaan adakah anak-anak saya mengalami sakit perut atau cirit-birit. Mereka mengatakan tidak. Mereka buang air seperti biasa iaitu sekali sehari. Saya rasa lega mendengar jawapan tersebut. Ini bermakna saya boleh teruskan memberi mereka minum fresh milk di waktu malam sementara suami saya belum pulang dan selagi saya masih terikat dengan tugas pengawasan peperiksaan yang begitu panjang masanya.

Namun amalan minum fresh milk terhad untuk waktu kecederaan sahaja kerana harganya yang agak mahal berbanding susu tepung. Bila dewasa, saya kisahkan semua ini kepada anak-anak saya dan kami ketawa bersama. Sehingga kini anak-anak saya sukakan fresh milk

Tuesday, August 5, 2014

Lain yang diajar lain yang pandai

Saya mengajar mengaji 3 orang anak serentak iaitu dua orang abang dan seorang adik. Mungkin waktu itu saya agak garang dan kurang sabar dalam mengajar mereka. Akibatnya mereka takut. Setiap kali abang-abang mengaji, mereka akan menangis. Untuk adik pula, saya tidak begitu menekankan sangat kerana beranggapan dia masih kecil. Cukuplah sekadar dengar.

Masa berlalu. Abang-abang masih merangkak mengaji. Mereka seramkan suara saya. Tetapi adik pula yang pandai baca. Rupanya selama ini saya ajar abang mengaji, dia yang mengamati. Akhirnya adik dapat mengaji lebih dahulu.

Sayang vs Marah

"Mak selalu kata mak sayang saya. Tapi hari ini mak dah lima kali marahkan saya. Macamana tu (Betul sayang ke)?"

Anak-Anak Mula Bertutur

Oren - Oyen
Tupperware - Tuppertuwe
Rotan - Yotan
Lori - Cuwi
Keris - Kiris
Labah-Labah : Bala-bala

Rendam Telefon Bimbit

Anak-anak memang bijak. Apabila tenguk telefon bimbit tidak atau kurang digunakan, mereka fikir telefon tersebut sudah rosak atau tidaak digunakan lagi.

Jadi anak saya ambil telefon tersebut untuk dibuat eksperimen. Beliau ambil dan tadah air dalam besen. Apabila air sudah penuh, beliau rendamkan telefon Alcatel saya dalam besen yang dipenuhi air itu. Sungguh saya terkejut.

Saya akan ceritakan seterusnya, jika diizinkan Tuhan. In Sha Allah.

Monday, August 4, 2014

Masak Telur Dalam Microwave

Kisah anak saya masak telur guna microwave. Dia selalu lihat ibunya memasak menggunakan microwave lalu dia memasak telu menggunakan microwave.

Apa yang terjadi dengan telur tersebut? Nantikan masa terluang untuk saya kisahkan pengalaman berlaku letupan!