Subscribe to RSS feeds

Thursday, December 24, 2009

Sebutir Kacang Secebis Perhatian

Suatu hari ketika pulang dari kerja dalam keadaan agak penat, aku disambut oleh anakku yang begitu keletah bercakap dan girang sekali dengan kepulanganku. Maka hilanglah segala kepenatanku seketika. Aku melayani gelagatnya yang cuba bercerita dengan perasaan yang seronok.

Setelah itu aku mencapai suratkhabar untuk dibaca sambil melepak di depan TV. Anak kecilku yang berusia tiga tahun itu sentiasa mengekoriku ke mana pun aku pergi dan apapun yang aku lakukan. Kami memang rapat. Secara terus terang aku memberitahunya bahawa aku ingin membaca suratkhabar pula setelah penat bermain bersamanya. Anakku mengiyakan permintaanku dan aepanjang aku membaca suratkhabar, mulutnya tidak berhenti bercakap seorang diri dengan kereta-kereta mainannya. Lagaknya persis sedang menyusun dialog untuk kereta-kereta itu berbicara sesama mereka. Sungguh bijak anak kecil ini, bisik hatiku.

Mungkin kerana kepenatan, maka aku terlelap ketika suratkhabar belum habis kubaca. Tiba-tiba aku terasa seperti ada sesuatu yang mengganggu di telinga kananku. Oleh kerana tidak selesa, maka aku menggosok-gosok lubang telingaku. Ketika itulah kusedari hujung jariku tersentuh suatu benda seperti kacang. Lalu aku terkejut dan benar-benar terjaga dari tidur. Kulihat anakku sedang makan kacang di sisiku. Memang sah benda yang masuk ke dalam telingaku sebentar tadi ialah kacang. Dan memang sah anakkulah yang telah memasukkannya ke dalam telingaku ketika aku tertidur sebentar tadi.

Aku cuba dan terus mencuba untuk mengeluarkannya namun tidak berjaya. Akhirnya aku ke klinik dan doktor mengeluarkan sebutir kacang yang sudah terbelah dua dari dalam telinga kananku. Doktor menunjukkan kacang itu kepadaku dan anak kecilku yang kubawa bersama ketika menemui doktor. Ketika menjawa pertanyaan doktor mengapa dia memasukkan kacang ke dalam telingaku, maka anakku menjawab dengan keletah dan comelnya, "Irfan nak mama bangun. Irfan nak makan kacang dengan mama." Kata-katanya disambut dengan senyuman oleh doktor, jururawat dan aku sendiri yang merasakan lucu dengan peristiwa itu.

Aku pulang dari klinik dengan rasa lega dan lucu. Namun peristiwa itu membuat aku berfikir pintarnya seorang kanak-kanak kecil yang cuba meraih perhatian ibunya. Dia tidak memahami ibunya sedang penat atau apa yang dilakukannya bahaya. Dia hanya tahu dia inginkan perhatian.

Sesuatu tingkahlaku luar biasa yang dilakukan oleh anak-anak pasti mempunyai mesej tertentu. Jika ibu bapa memahaminya, pasti mereka akan mengatakan anaknya pintar dan cerdik. Namun jika ibu bapa gagal memahami mesejnya, maka selalunya anak-anak yang melakukan sesuatu yang pelik akan dilabel sebagai nakal. Sesungguhnya kanak-kanak belajar daripada pengalaman, percubaan dan aktiviti permainannya. Yang nyata, kanak-kanak inginkan selalu diberi perhatian!

Friday, December 11, 2009

Demi gigi yang cantik

Sudah beberapa kali aku berulang alik ke klinik gigi Nur. Banyak rupanya proses yang patut dilakukan sebelum dapat memasang braces gigi. Bukan gigiku tapi gigi anakku. Dah usia begini manalah nak pasang braces. Tentulah yang muda.

Hari ini baru dapat braces dipasang ke gigi anakku setelah pemeriksaan, mencetak struktur gigi, dua cabutan, memasang getah dan memasang besi anchor. Doktor menasihatkan agar gigi dibesihkan dengan teliti untuk mengelakkan kotoran termendap seterusnya menghalang kelancaran pergerakan gigi. Untuk menjadikan pergerakan gigi lebih lancar, maka gigi perlu dijaga dengan bersih, pemakanan lembut tetapi berkhasiat dan tidur mencukupi. Lebih baik lagi, makanan diblend atau dikisar untuk mengurangkan gangguan gusi, mulut dan braces yang dipasang. Sebulan pertama memakai braces adalah tempoh masa fragile. Justeru aku menasihatkan anakku agar tidak melibatkan diri dalam sparing taekwando melainkan latihan biasa sahaja. Ini untuk mengelakkan kesulitan apabila berlaku kemalangan ketika perlawanan.

Apapun sikap yang konsisten penting sehingga gigi benar-benar tersusun. Bukan mudah nak korbankan gigi dan keselesaan makan. Bayarannya juga bukan murah. Hampir RM4000 beb!

Wednesday, November 18, 2009

Hari Pertama anakku SPM

Hari ini hari pertama Taqiy menjalani peperiksaan SPMnya. Di samping roti, aku sempat masak nasi dan lauk ayam goreng untuk sarapan paginya. Dia sering makan nasi waktu pagi kerana kelasnya sehingga menjelang patang. Peperiksaan hari inipun hingga jam 4.00 petang. namun kuingatkannya agar makan tengahari sewaktu break.

Sebelum ke sekolah, aku sempat bercakap dan berpesan kepadanya.

Aku: Mak tak hantar Taqi ke sekolah ya hari ini. Mak nak hantar pun Taqiy kata tak payah.
Taqiy: Tak pa mak. Taqiy tak kisah. Taqiy pergi sekolah dengan Abu (rakan yang sering membonceng motosikal dengannya).
Aku: Walaupun mak tak ke sekolah Taqiy, mak tetap hantar doa untuk Taqiy. Insya Allah solat hajat dan dhuha diiringi doa dan yassin dari tempat kerja mak. Semoga Taqiy berjaya dengan cemerlang.
Taqiy: terima kasih, mak.
Aku: Dapat saja kerta soalan, pastikan semua muka surat cukup. Masa tu juga minta jika tak cukup. Untuk elak buang masa ketika menjawab. Baca arahan sepenuhnya dan jawab ikut kehendak soalan.
Taqiy: Insya Allah, mak.
Aku: Jangan lupa baca salawat, ayat seribu dinar dan lain-lain yang Taqiy tahu.

Setelah bersalaman, aku beredar. Anakku bertolak kemudiannya dengan RXZnya.

Di tempat kerja aku tidak lupa janjiku untuk mendoakannya setelah menyelesaikan kedua-dua solat. Ditambah dengan bacaan yassin memohon kesejahteraan dan semua yang patut. Kebetulan hari ini banyak kelas dicutikan. Guru-guru hanya menyudahkan tugasan akhir tahun termasuk aku. Jadi tidak salah rasanya aku ambil kesempatan ini untuk mengiringi anakku dengan doa. Hanya itulah caranya berusaha di saat begini. Semoga Tuhan permudahkan jalan anakku, Taqiy. Untuk menguatkan lagi, syukur aku dapat berpuasa hari ini, sepertimana aku lakukan semasa Ilham dan Ihsan menjalani PMR mereka bulan Oktober lalu.

Semua itu hanyalah usaha dan ikhtiar yang mengiringi doa dan harapan. Semoga Tuhan melimpahi hidupku, anak-anakku dan semua zuriat keturunanku dengan rahmat dan keberkatan serta kesejahteraan hidup yang berpanjangan. Amin.

Monday, November 16, 2009

Menghadiri Restu Ilmu SPM anak sulongku

Hari ini aku menghadiri majlis Restu Ilmu SPM di sekolah anakku. Sudah pasti kehadiranku untuk memberi sokongan kepada anak sulongku yang akan menduduki peperiksaan SPM bermula lusa, 18 November 2009.

Pabila tiba saat peperiksaan begini, bukan hanya anak yang merasa cemasnya namun aku sebagai ibunya lebih-lebih lagi. Apa yang mampu kulakukan ialah memberi ingatan dan berdoa untuk kejayaannya. Soal usaha dan ikhtiar, rasanya sudah dilakukan walaupun kurang pasti untuk mengukur cukup atau tidaknya. Di saat akhir begini hanya berserah kepada yang Maha Esa untuk memberikan yang terbaik buat anakku yang sudah pasti selalu kusebut dalam doaku.

Antara pesan Pengetua yang kukumpul untuk peringatan ibu bapa:
  • Ingatkan anak
  • Doakan anak, sebut dalam doa
  • Solat hajat
  • Masak untuk anak
  • Iringi studinya
  • Sediakan air susu ketika studinya
  • Berkomunikasi dengan anak
  • Berkawan dengan anak
  • Sebut perkataan yang baik2
  • Berikan sokongan sepenuhnya
  • Kawal marah
  • Berpuasa dan yasin ketika anak menjalani peperiksaan (dan sebelum itu)

Antara pesan Pengetua yang kukumpul untuk peringatan anak-anak:
  • Tidur awal
  • Tidur berkualiti (tidur masa lena; 12, 1, 2 dan 3)
  • Studi awal, jangan last minute
  • Study group
  • Kelas tambahan jika perlu
  • Banyakkan latihan
  • Banyakkan membaca dari pelbagai sumber
  • Sediakan nota panjang, pendek dan ringkas
  • Taat suruhan agama
  • Hormat ibu bapa dan guru
  • Solat usat ditinggal
  • Amalkan berpuasa
  • Solat hajat
  • Berdoa secara tepat
  • Berkongsi ilmu dengan kawan
  • Ambil sarapan pagi
  • Makan pada waktunya
  • Bertakwa dan Bertawakkal
Tiada yang diharapkan oleh ibu bapa sepertiku melainkan anak-anak yang baik pekertinya, berjaya dan bahagia hidup mereka dunia dan akhirat. Amin.