Subscribe to RSS feeds

Thursday, December 24, 2009

Sebutir Kacang Secebis Perhatian

Suatu hari ketika pulang dari kerja dalam keadaan agak penat, aku disambut oleh anakku yang begitu keletah bercakap dan girang sekali dengan kepulanganku. Maka hilanglah segala kepenatanku seketika. Aku melayani gelagatnya yang cuba bercerita dengan perasaan yang seronok.

Setelah itu aku mencapai suratkhabar untuk dibaca sambil melepak di depan TV. Anak kecilku yang berusia tiga tahun itu sentiasa mengekoriku ke mana pun aku pergi dan apapun yang aku lakukan. Kami memang rapat. Secara terus terang aku memberitahunya bahawa aku ingin membaca suratkhabar pula setelah penat bermain bersamanya. Anakku mengiyakan permintaanku dan aepanjang aku membaca suratkhabar, mulutnya tidak berhenti bercakap seorang diri dengan kereta-kereta mainannya. Lagaknya persis sedang menyusun dialog untuk kereta-kereta itu berbicara sesama mereka. Sungguh bijak anak kecil ini, bisik hatiku.

Mungkin kerana kepenatan, maka aku terlelap ketika suratkhabar belum habis kubaca. Tiba-tiba aku terasa seperti ada sesuatu yang mengganggu di telinga kananku. Oleh kerana tidak selesa, maka aku menggosok-gosok lubang telingaku. Ketika itulah kusedari hujung jariku tersentuh suatu benda seperti kacang. Lalu aku terkejut dan benar-benar terjaga dari tidur. Kulihat anakku sedang makan kacang di sisiku. Memang sah benda yang masuk ke dalam telingaku sebentar tadi ialah kacang. Dan memang sah anakkulah yang telah memasukkannya ke dalam telingaku ketika aku tertidur sebentar tadi.

Aku cuba dan terus mencuba untuk mengeluarkannya namun tidak berjaya. Akhirnya aku ke klinik dan doktor mengeluarkan sebutir kacang yang sudah terbelah dua dari dalam telinga kananku. Doktor menunjukkan kacang itu kepadaku dan anak kecilku yang kubawa bersama ketika menemui doktor. Ketika menjawa pertanyaan doktor mengapa dia memasukkan kacang ke dalam telingaku, maka anakku menjawab dengan keletah dan comelnya, "Irfan nak mama bangun. Irfan nak makan kacang dengan mama." Kata-katanya disambut dengan senyuman oleh doktor, jururawat dan aku sendiri yang merasakan lucu dengan peristiwa itu.

Aku pulang dari klinik dengan rasa lega dan lucu. Namun peristiwa itu membuat aku berfikir pintarnya seorang kanak-kanak kecil yang cuba meraih perhatian ibunya. Dia tidak memahami ibunya sedang penat atau apa yang dilakukannya bahaya. Dia hanya tahu dia inginkan perhatian.

Sesuatu tingkahlaku luar biasa yang dilakukan oleh anak-anak pasti mempunyai mesej tertentu. Jika ibu bapa memahaminya, pasti mereka akan mengatakan anaknya pintar dan cerdik. Namun jika ibu bapa gagal memahami mesejnya, maka selalunya anak-anak yang melakukan sesuatu yang pelik akan dilabel sebagai nakal. Sesungguhnya kanak-kanak belajar daripada pengalaman, percubaan dan aktiviti permainannya. Yang nyata, kanak-kanak inginkan selalu diberi perhatian!

Friday, December 11, 2009

Demi gigi yang cantik

Sudah beberapa kali aku berulang alik ke klinik gigi Nur. Banyak rupanya proses yang patut dilakukan sebelum dapat memasang braces gigi. Bukan gigiku tapi gigi anakku. Dah usia begini manalah nak pasang braces. Tentulah yang muda.

Hari ini baru dapat braces dipasang ke gigi anakku setelah pemeriksaan, mencetak struktur gigi, dua cabutan, memasang getah dan memasang besi anchor. Doktor menasihatkan agar gigi dibesihkan dengan teliti untuk mengelakkan kotoran termendap seterusnya menghalang kelancaran pergerakan gigi. Untuk menjadikan pergerakan gigi lebih lancar, maka gigi perlu dijaga dengan bersih, pemakanan lembut tetapi berkhasiat dan tidur mencukupi. Lebih baik lagi, makanan diblend atau dikisar untuk mengurangkan gangguan gusi, mulut dan braces yang dipasang. Sebulan pertama memakai braces adalah tempoh masa fragile. Justeru aku menasihatkan anakku agar tidak melibatkan diri dalam sparing taekwando melainkan latihan biasa sahaja. Ini untuk mengelakkan kesulitan apabila berlaku kemalangan ketika perlawanan.

Apapun sikap yang konsisten penting sehingga gigi benar-benar tersusun. Bukan mudah nak korbankan gigi dan keselesaan makan. Bayarannya juga bukan murah. Hampir RM4000 beb!