Subscribe to RSS feeds

Tuesday, January 25, 2011

Lautan Telur

Bagi orang dewasa, telur dan bola sudah tentu berlainan; yang satu berbentuk bujur dan yang satu lagi berbentuk bulat. Namun bagi kanak-kanak mungkin mereka menganggapnya hampir sama disebabkan bentuknya yang membulat walaupun bentuk telur sedikit membujur. Apatahlagi bagi kanak-kanak yang baru berumur dalam lingkungan 2 tahun. Satu lagi sifat bola ialah boleh dicampak dan boleh dibuat main. Mungkinkah begitu juga sifat telur yang mereka faham?

Semasa aku baru melahirkan anak yang keempat (kali ketiga bersalin), usia anak-anak kembarku baru setahun lebih, belumpun setahun setengah dan mereka baru sahaja pandai berjalan. Ketika masih dalam pantang, aku menjaga bayiku di bilik belakang, bersebelahan dengan ruang dapur. Ketika aku sedang sibuk melayani bayiku dengan pelbagai keperluannya ditambah pula dengan keperluanku sendiri ketika dalam pantang di dalam bilik itu, aku terdengar anak-anakku sedang bergelak ketawa di ruang dapur. Pintu bilik tidak tertutup. oleh itu aku dapat mendengar suara mereka dengan jelas. Mendengar mereka ketawa gembira, hatiku lega dan senang sekali. Sekurang-kurangnya anak-anakku tiada sebarang masalah. Begitulah bisik hati kecilku.

Lima belas minit kemudian aku mula cemas apabila mereka satu demi satu menangis. Pastilah ada sesuatu yang tidak kena apabila kanak-kanak menangis. Aku teringin melihatnya. Aku ingin tahu apa masalah anak-anakku sehingga mereka menangis sedangkan tadinya mereka bergelak ketawa. Maka dengan berbengkung, aku berjalan perlahan-lahan menjengukkan muka ke pintu. Alangkah terkejutnya bila kudapati anak-anak kembarku menangis sambil mereka sedang berdiri di kelilingi cecair likat berwarna kuning putih. Terdapat kulit telur berselerakan di sana sini atas cecair tersebut. Pintu peti sejuk pula sedang terbuka dan mereka berada berdekatan dengan peti sejuk tersebut. Mengertilah aku bahawa anak-anak kembarku telah bermain dengan telur yang dicampak-campak seperti bola. Hanya bezanya bola melantun bila terkena lantai. Sebaliknya telur menjadi pecah apabila terkena lantai. Bila mereka sukar bergerak disebabkan lantai yang likat dan licin, maka anak-anakku mulai menangis kerana takut jatuh.

Aku menarik nafas panjang dan sabarkan hati melihat kerenah anak-anak kecilku. Cepat-cepat kusedarkan diriku sendiri bahawa aku masih dalam pantang. Eloklah bertenang, tidak panik apatahlagi menjerit terkejut. Segera aku menelefon suamiku yang ketika itu keluar sebentar pergi ke kedai agar pulang segera dan menyaksikan apa yang berlaku di rumah. Hanya Tuhan yang tahu bagaimana bersepahnya rumahku ketika itu. Untuk menenangkan perasaan aku anggap sahaja anak-anakku begitu cerdik membuat persamaan antara telur dengan bola sehingga berjaya membina lautan telur di dalam rumah. Aku berkomunikasi dengan mereka sementara menunggu kepulangan suamiku dari kedai.


Sunday, January 23, 2011

Mandi Minyak

Melihat anak-anak bermain dan bergembira memang menjadi keseronokan seorang ibu seperti aku. Pada suatu hari sewaktu anak-anakku masih kecil, juga dalam lingkungan umur 2 hingga 5 tahun, aku telah membelikan mereka sebuah kolam renang plastik dari pasaraya Makro, Johor Baharu.

Dengan tidak sabar anak-anakku menunggu bila agaknya air hendak penuh ke dalam kolam plastik yang kubentang di tepi rumah. Semuanya sudah bersedia untuk berenang di dalam kolam mini yang kenit dan sempit itu. Masing-masing bercakap-cakap antara satu sama lain, riuh dan becok sekali mulut comel mereka. Bila air sudah separuh kolam, akupun membenarkan anak-anak masuk ke dalam kolam. Ada yang masuk ke dalam kolam dengan melompat, ada yang terbang, ada yang cecahkan kaki sebelah dahulu dan ada yang dimasukkan ke dalam kolam. Bermacam gaya masuk ke kolam renang. Memang seronok melihat gelagat anak-anak bermain air. Hendak tunggu waktu cuti baru dapat bawa anak-anak mandi di pantai, lama lagi. Dengan adanya kolam plastik buatan ini, dapatlah anak-anakku mandi sambil berenang setiap hari sampai mereka puas bahkan sampai mereka jemu.

Bila air sudah penuh, anak-anakku pula sudah berendam dalam air sambil main percik-percik air, aku mulai penat menunggu mereka. Tambahan pula aku perlu masuk ke dalam rumah untuk memasak. Lalu kutinggalkan anak-anakku berempat bermain air dalam kolam kecil itu. Harap-harap tiada yang lemas. Sebelum itu kututup dahulu kepala paip agar air tidak melimpah dan berlaku pembaziran. Aku berpesan kepada anak sulongku agar menjaga adik-adik dan bermain elok-elok.

Sepanjang memasak, hilai tawa anak-anakku sentiasa kedengaran. Tiada langsung suara tangisan atau suara yang mencemaskan. Seronok benar mereka dengan sorak-sorai dan jerit-pekik kegembiraan. Selesai memasak aku keluar semula untuk menamatkan permainan mereka dengan kolam mandi buatan itu dan membawa mereka masuk ke rumah. Tetapi alangkah terkejutnya aku bila sampai ke kolam berkenaan, aku mendapati semua anakku berwarna hitam. Maka aku terus bertanya mengapa mereka jadi begitu. Anak-anakku dengan becoknya menjelaskan bahawa mereka telah menambah air kolam yang semakin cetek (kerana banyak terpercik keluar) dengan sebotol cecair. Bila kuperiksa botolnya, kudapati  ia adalah minyak hitam kenderaan yang diperolehi daripada kabinet kasut berdekatan dengan tempat letak kereta di rumahku. Betapa mendidihnya hatiku. Ini kerana aku takutkan bahaya minyak hitam tersebut terhadap anak-anakku. Apatahlagi mereka mandi dengannya. Lebih kutakuti apabila mereka tertelan minyak tersebut. Satu lagi masalah ialah hendak membersihkan mereka. Aduh! Manalah tak geram dibuatnya.

Kesabaranku teruji. Dan ternyata aku tak dapat bersabar lagi apabila terpaksa memandikan mereka empat kali setiap orang kerana minyak hitam tersebut terlalu likat dan tidak mudah ditanggalkan dari badan. Sebatan hinggap juga dibadan. Setelah itu aku membawa  mereka semua berjumpa dengan doktor untuk memastikan anak-anak selamat daripada bahaya minyak terlarang itu. Dalam hati aku berkata, mungkin anak-anakku tak akan mandi minyak jika kolam plastik itu tiada. Akukah yang bersalah kerana membelikan mereka kolam plastik? Atau salahkah aku meninggalkan mereka sebentar untuk memasak dan menyediakan makanan mereka? Apapun, anak-anak memang kreatif.

Saturday, January 22, 2011

Dokumen Terbang

Suatu hari masa anak masih kecil-kecil dahulu, ketika usia anak-anakku sekitar 2 hingga 5 tahun (ada 4 orang masa tu), aku membawa mereka menjalani rawatan ke klinik (regular check-up). Aku membawa mereka dengan menaiki kereta Ford Laser lama. Selesai pemeriksaan, aku pulang dengan membawa kad-kad klinik dan sedikit bekalan vitamin dari klinik tersebut.

Dalam perjalanan pulang, aku memandu seperti biasa dan anak-anakku yang tiga orang (5 tahun dan kembar 3 tahun duduk di belakang. Oleh kerana kereta tersebut tiada air-cond, maka aku buka semua tingkap kereta agar ada peredaran udara keluar dan masuk ke dalam kereta seterusnya mengelakkan kepanasan. Anak-anak pula suka menjengukkan kepala mereka ke tingkap sambil bergurau dan bergelak ketawa. Dalam usia begitu macam bahaya juga bila anak-anak menjengukkan kepala ke tingkap. Sebab itu aku tinggalkan sedikit cermin, tingkap tidak dibuka sepenuhnya, ada lagi suku yang tertutup dan anak-anak tidak tahu membukanya. Kerana memandu sambil memerhatikan gelagat anak-anak melalui cermin pandang belakang, maka aku memandu  tidak laju sehingga sampai ke rumah.

Tiba di rumah, aku turunkan semua anak-anak dan semua barang yang patut dikeluarkan dari kereta. Namun ada satu barang penting yang tiada iaitu kad-kad klinik anak-anakku. Aku mencari ke sana dan kemari dalam kereta. Aku selongkar dalam beg dan bawah kusyen kereta serta semua poket yang terdapat dalam kereta lamaku. Tidak ada juga. Akhirnya aku bertanyakan anak-anakku kalau mereka tahu di mana kad-kad tersebut. Anak sulongku  yang berusia lima tahun menjawab, "Tadi adik main kad, buat jet, terbang-terbang!" Tiba-tiba aku jadi panik dengan jawapan itu. Aku bertanya lagi, "Di mana?". Jawab anakku, "Ada. Kat sana." Aduh! mana aku nak cari kad klinik tu.

Aku tidak jadi masuk ke rumah bahkan dengan segera aku masukkan semula anak-anakku ke dalam kereta dan bawa mereka menelusuri jalan tadi. Kali ini pemanduanku lebih perlahan kerana ingin melihat-lihat jika ada kad yang kucari terletak di mana-mana. Memang benar. Selepas persimpangan Simpang Lima, berdekatan dengan Sekolah Menengah Dato' Onn, aku dapati kad-kad klinik anakku bertaburan di tepi jalan, satu di sini, satu di sana. Aku berhenti mengutipnya, mencari dan terus mengutip lagi satu persatu sehingga cukup empat keping semuanya. Hati menjadi lega kerana sudah menemui barang penting yang kucari. Fahamlah aku bahawa sepanjang perjalanan tadi anak-anakku asyik ketawa dan gembira ketika menjengukkan kepala di tepi tingkap kereta. Rupanya mereka seronok bermain dengan jet atau kapal terbang yang dibuat daripada dokumen klinik mereka sendiri yang sudah tentu penting dibawa  semasa menjalani pemeriksaan setiap beberapa bulan sekali ke klinik.

Aku lega dapat kembali kad tersebut tapi penat dengan kerenah anak-anakku. Berulang alik, pergi dan balik tak tentu pasal bertambah kerja. Namun anak-anak tidak tahu kepenatanku. Mereka tahu gembira dan seronok saja. Hati rasa nak meradang tapi melihat gelagat mereka yang comel, sambil mata mereka terkedip-kedip, langsung memaparkan mereka tidak tahupun apa yang mereka lakukan menyusahkan aku (innocent),  hatiku menjadi sejuk kembali. Gelihati pun ada bila fikirkan kreatifnya anak-anak. Semua barang boleh jadi permainannya. Selepas peristiwa itu, aku lebih berhati-hati menyimpan dokumen penting.

Thursday, January 20, 2011

Aduhai sibuknya...

Berjaya tapi dilema; nak stay atau pindah SBP...
Hmm... Lama sudah tak menulis di sini. Macam-macam yang disibukkan. Maklumlah mengurus anak-anak,  rumah dan keluarga bukannya pernah habis. Biarpun nampak kecil dan remeh, namun besar impaknya buat ahli keluarga. Tambahan pula anak bongsuku tengah demam. Suamiku pula sedang out station satu bulan. Anak perempuanku pula sedang dalam dilema sama ada mahu menerima tawaran ke Sekolah Menengah Sains atau tidak. Kalau dia pergi,  itu untuk masa depan dia. Kalau dia tak pergi, Ok juga. Aku ada kawan di rumah dan shopping. Maklum anak perempuan seorang saja. Motorsikal anak kembar bujang pula rosak. Kalau elok bolehlah kutinggalkan mereka berdikari kerana minggu hadapan aku ke kursus. Hanya membawa anak-anak berusia 16, 13 dan 5 tahun sahaja. Esok (pagi ini, 20 Jan) bagi training video untuk beberapa orang pelajar. Minggu hadapan juga mesti siap SKT dan hantar pada bos. Sibuk pula dengan latihan sukan merentas desa di sekolah. Nampaknya pack benar Januari ini. Apapun aku happy selagi anak-anak OK dan tiada masalah. Terima kasih anak-anakku, terima kasih suamiku, syukur pada Tuhan.