Subscribe to RSS feeds

Saturday, January 22, 2011

Dokumen Terbang

Suatu hari masa anak masih kecil-kecil dahulu, ketika usia anak-anakku sekitar 2 hingga 5 tahun (ada 4 orang masa tu), aku membawa mereka menjalani rawatan ke klinik (regular check-up). Aku membawa mereka dengan menaiki kereta Ford Laser lama. Selesai pemeriksaan, aku pulang dengan membawa kad-kad klinik dan sedikit bekalan vitamin dari klinik tersebut.

Dalam perjalanan pulang, aku memandu seperti biasa dan anak-anakku yang tiga orang (5 tahun dan kembar 3 tahun duduk di belakang. Oleh kerana kereta tersebut tiada air-cond, maka aku buka semua tingkap kereta agar ada peredaran udara keluar dan masuk ke dalam kereta seterusnya mengelakkan kepanasan. Anak-anak pula suka menjengukkan kepala mereka ke tingkap sambil bergurau dan bergelak ketawa. Dalam usia begitu macam bahaya juga bila anak-anak menjengukkan kepala ke tingkap. Sebab itu aku tinggalkan sedikit cermin, tingkap tidak dibuka sepenuhnya, ada lagi suku yang tertutup dan anak-anak tidak tahu membukanya. Kerana memandu sambil memerhatikan gelagat anak-anak melalui cermin pandang belakang, maka aku memandu  tidak laju sehingga sampai ke rumah.

Tiba di rumah, aku turunkan semua anak-anak dan semua barang yang patut dikeluarkan dari kereta. Namun ada satu barang penting yang tiada iaitu kad-kad klinik anak-anakku. Aku mencari ke sana dan kemari dalam kereta. Aku selongkar dalam beg dan bawah kusyen kereta serta semua poket yang terdapat dalam kereta lamaku. Tidak ada juga. Akhirnya aku bertanyakan anak-anakku kalau mereka tahu di mana kad-kad tersebut. Anak sulongku  yang berusia lima tahun menjawab, "Tadi adik main kad, buat jet, terbang-terbang!" Tiba-tiba aku jadi panik dengan jawapan itu. Aku bertanya lagi, "Di mana?". Jawab anakku, "Ada. Kat sana." Aduh! mana aku nak cari kad klinik tu.

Aku tidak jadi masuk ke rumah bahkan dengan segera aku masukkan semula anak-anakku ke dalam kereta dan bawa mereka menelusuri jalan tadi. Kali ini pemanduanku lebih perlahan kerana ingin melihat-lihat jika ada kad yang kucari terletak di mana-mana. Memang benar. Selepas persimpangan Simpang Lima, berdekatan dengan Sekolah Menengah Dato' Onn, aku dapati kad-kad klinik anakku bertaburan di tepi jalan, satu di sini, satu di sana. Aku berhenti mengutipnya, mencari dan terus mengutip lagi satu persatu sehingga cukup empat keping semuanya. Hati menjadi lega kerana sudah menemui barang penting yang kucari. Fahamlah aku bahawa sepanjang perjalanan tadi anak-anakku asyik ketawa dan gembira ketika menjengukkan kepala di tepi tingkap kereta. Rupanya mereka seronok bermain dengan jet atau kapal terbang yang dibuat daripada dokumen klinik mereka sendiri yang sudah tentu penting dibawa  semasa menjalani pemeriksaan setiap beberapa bulan sekali ke klinik.

Aku lega dapat kembali kad tersebut tapi penat dengan kerenah anak-anakku. Berulang alik, pergi dan balik tak tentu pasal bertambah kerja. Namun anak-anak tidak tahu kepenatanku. Mereka tahu gembira dan seronok saja. Hati rasa nak meradang tapi melihat gelagat mereka yang comel, sambil mata mereka terkedip-kedip, langsung memaparkan mereka tidak tahupun apa yang mereka lakukan menyusahkan aku (innocent),  hatiku menjadi sejuk kembali. Gelihati pun ada bila fikirkan kreatifnya anak-anak. Semua barang boleh jadi permainannya. Selepas peristiwa itu, aku lebih berhati-hati menyimpan dokumen penting.

0 comments: