Subscribe to RSS feeds

Sunday, January 23, 2011

Mandi Minyak

Melihat anak-anak bermain dan bergembira memang menjadi keseronokan seorang ibu seperti aku. Pada suatu hari sewaktu anak-anakku masih kecil, juga dalam lingkungan umur 2 hingga 5 tahun, aku telah membelikan mereka sebuah kolam renang plastik dari pasaraya Makro, Johor Baharu.

Dengan tidak sabar anak-anakku menunggu bila agaknya air hendak penuh ke dalam kolam plastik yang kubentang di tepi rumah. Semuanya sudah bersedia untuk berenang di dalam kolam mini yang kenit dan sempit itu. Masing-masing bercakap-cakap antara satu sama lain, riuh dan becok sekali mulut comel mereka. Bila air sudah separuh kolam, akupun membenarkan anak-anak masuk ke dalam kolam. Ada yang masuk ke dalam kolam dengan melompat, ada yang terbang, ada yang cecahkan kaki sebelah dahulu dan ada yang dimasukkan ke dalam kolam. Bermacam gaya masuk ke kolam renang. Memang seronok melihat gelagat anak-anak bermain air. Hendak tunggu waktu cuti baru dapat bawa anak-anak mandi di pantai, lama lagi. Dengan adanya kolam plastik buatan ini, dapatlah anak-anakku mandi sambil berenang setiap hari sampai mereka puas bahkan sampai mereka jemu.

Bila air sudah penuh, anak-anakku pula sudah berendam dalam air sambil main percik-percik air, aku mulai penat menunggu mereka. Tambahan pula aku perlu masuk ke dalam rumah untuk memasak. Lalu kutinggalkan anak-anakku berempat bermain air dalam kolam kecil itu. Harap-harap tiada yang lemas. Sebelum itu kututup dahulu kepala paip agar air tidak melimpah dan berlaku pembaziran. Aku berpesan kepada anak sulongku agar menjaga adik-adik dan bermain elok-elok.

Sepanjang memasak, hilai tawa anak-anakku sentiasa kedengaran. Tiada langsung suara tangisan atau suara yang mencemaskan. Seronok benar mereka dengan sorak-sorai dan jerit-pekik kegembiraan. Selesai memasak aku keluar semula untuk menamatkan permainan mereka dengan kolam mandi buatan itu dan membawa mereka masuk ke rumah. Tetapi alangkah terkejutnya aku bila sampai ke kolam berkenaan, aku mendapati semua anakku berwarna hitam. Maka aku terus bertanya mengapa mereka jadi begitu. Anak-anakku dengan becoknya menjelaskan bahawa mereka telah menambah air kolam yang semakin cetek (kerana banyak terpercik keluar) dengan sebotol cecair. Bila kuperiksa botolnya, kudapati  ia adalah minyak hitam kenderaan yang diperolehi daripada kabinet kasut berdekatan dengan tempat letak kereta di rumahku. Betapa mendidihnya hatiku. Ini kerana aku takutkan bahaya minyak hitam tersebut terhadap anak-anakku. Apatahlagi mereka mandi dengannya. Lebih kutakuti apabila mereka tertelan minyak tersebut. Satu lagi masalah ialah hendak membersihkan mereka. Aduh! Manalah tak geram dibuatnya.

Kesabaranku teruji. Dan ternyata aku tak dapat bersabar lagi apabila terpaksa memandikan mereka empat kali setiap orang kerana minyak hitam tersebut terlalu likat dan tidak mudah ditanggalkan dari badan. Sebatan hinggap juga dibadan. Setelah itu aku membawa  mereka semua berjumpa dengan doktor untuk memastikan anak-anak selamat daripada bahaya minyak terlarang itu. Dalam hati aku berkata, mungkin anak-anakku tak akan mandi minyak jika kolam plastik itu tiada. Akukah yang bersalah kerana membelikan mereka kolam plastik? Atau salahkah aku meninggalkan mereka sebentar untuk memasak dan menyediakan makanan mereka? Apapun, anak-anak memang kreatif.

2 comments:

nawaliq97 said...

haha.. cikgu,,best btol cikgu jdi ibu,,
ad jer cerita lucu,, :D
haha..x tahan sya baca,,
klaka btol,, :D
sah lah,,
anak2 cikgu mmg
kreatif lagi inovatif,,
haha,,>.<

Ayda said...

Tq Nawal, for the comment. Sebenarnya setiap ibu ada banyak kisah bersama anak masing-masing. Kalau tak percaya, cuba tanya ibu Nawal. Bagi saya, saya amat menghargai semua kenangan bersama anak-anak. Seronok, lucu, menghiburkan. Sebab itu saya tulis buat ingatan.