Subscribe to RSS feeds

Tuesday, January 25, 2011

Lautan Telur

Bagi orang dewasa, telur dan bola sudah tentu berlainan; yang satu berbentuk bujur dan yang satu lagi berbentuk bulat. Namun bagi kanak-kanak mungkin mereka menganggapnya hampir sama disebabkan bentuknya yang membulat walaupun bentuk telur sedikit membujur. Apatahlagi bagi kanak-kanak yang baru berumur dalam lingkungan 2 tahun. Satu lagi sifat bola ialah boleh dicampak dan boleh dibuat main. Mungkinkah begitu juga sifat telur yang mereka faham?

Semasa aku baru melahirkan anak yang keempat (kali ketiga bersalin), usia anak-anak kembarku baru setahun lebih, belumpun setahun setengah dan mereka baru sahaja pandai berjalan. Ketika masih dalam pantang, aku menjaga bayiku di bilik belakang, bersebelahan dengan ruang dapur. Ketika aku sedang sibuk melayani bayiku dengan pelbagai keperluannya ditambah pula dengan keperluanku sendiri ketika dalam pantang di dalam bilik itu, aku terdengar anak-anakku sedang bergelak ketawa di ruang dapur. Pintu bilik tidak tertutup. oleh itu aku dapat mendengar suara mereka dengan jelas. Mendengar mereka ketawa gembira, hatiku lega dan senang sekali. Sekurang-kurangnya anak-anakku tiada sebarang masalah. Begitulah bisik hati kecilku.

Lima belas minit kemudian aku mula cemas apabila mereka satu demi satu menangis. Pastilah ada sesuatu yang tidak kena apabila kanak-kanak menangis. Aku teringin melihatnya. Aku ingin tahu apa masalah anak-anakku sehingga mereka menangis sedangkan tadinya mereka bergelak ketawa. Maka dengan berbengkung, aku berjalan perlahan-lahan menjengukkan muka ke pintu. Alangkah terkejutnya bila kudapati anak-anak kembarku menangis sambil mereka sedang berdiri di kelilingi cecair likat berwarna kuning putih. Terdapat kulit telur berselerakan di sana sini atas cecair tersebut. Pintu peti sejuk pula sedang terbuka dan mereka berada berdekatan dengan peti sejuk tersebut. Mengertilah aku bahawa anak-anak kembarku telah bermain dengan telur yang dicampak-campak seperti bola. Hanya bezanya bola melantun bila terkena lantai. Sebaliknya telur menjadi pecah apabila terkena lantai. Bila mereka sukar bergerak disebabkan lantai yang likat dan licin, maka anak-anakku mulai menangis kerana takut jatuh.

Aku menarik nafas panjang dan sabarkan hati melihat kerenah anak-anak kecilku. Cepat-cepat kusedarkan diriku sendiri bahawa aku masih dalam pantang. Eloklah bertenang, tidak panik apatahlagi menjerit terkejut. Segera aku menelefon suamiku yang ketika itu keluar sebentar pergi ke kedai agar pulang segera dan menyaksikan apa yang berlaku di rumah. Hanya Tuhan yang tahu bagaimana bersepahnya rumahku ketika itu. Untuk menenangkan perasaan aku anggap sahaja anak-anakku begitu cerdik membuat persamaan antara telur dengan bola sehingga berjaya membina lautan telur di dalam rumah. Aku berkomunikasi dengan mereka sementara menunggu kepulangan suamiku dari kedai.


1 comments:

nawaliq97 said...

haha,,
cegu,,
anak kembar cegu mmg yg pling nakal ea?
haha,,
mcam2 jadi nyer,,
>.<