Subscribe to RSS feeds

Friday, October 3, 2008

Paksi Keluarga


Kata orang, jika ingin menilai diri, lihat dan bandingkan prestasi sendiri dan jangan bandingkan kita dengan orang lain kerana ia tidak adil. Mungkin kerana tahap dan keadaan kita tidak sama dengan orang lain. Masalah dan apa yang dialami juga berbeza. Cara menghadapi, menilai dan menyelesaikan sesuatu juga tidak sama. Maka kita nilailah diri kita dengan ukuran diri kita sendiri. Begitu juga dengan aku.

Raya kali ini lebih bermakna untukku. Mengapa? Ehm... barangkali didorong oleh anak-anak yang semakin membesar, pandai demand nak makan sesuatu, maka akupun memasak hidangan yang agak lengkap untuk hari raya. Selalunya aku masak membantu kakak dan emak. Namun kali ini secara solo. Paling tidakpun dibantu oleh anak-anak. Cuma lemang sahaja yang suamiku beli. Aku bersyukur kerana dapat menyediakan rendang, ketupat, sambal kacang, kuah lodeh, paru-paru goreng dan lain-lain yang digemari anak-anak. Melihat mereka makan sememangnya suatu yang menyeronokkan dan sangat membahagiakan. Sebenarnya sudah sebulan aku merehatkan pembantu rumah daripada memasak, iaitu sepanjang bulan Ramadhan. Langsung aku tidak benarkan dia memasak lagi. Jawapannya tidak lain melainkan anak-anak dan suami mahukan air tanganku. Sudah jemu dengan air tangan orang lain. Syukur.

Sudah 17 tahun aku berumahtangga. Anak sulongku sudah berusia 16 tahun. Sudah banyak gambar-gambar keluarga diambil dan dialbumkan. Aku juga sudah melalui kerjaya sebagai fotografer dan mempelajari pelbagai teknik fotografi. Sebagai perakam dan penyunting video pula, aku telah merakam beberapa kenangan keluarga dalam bentuk dokumentari. Namun ada satu perkara yang sekalipun aku belum tergerak hati untuk melakukannya iaitu memfremkan dan menggantungkan foto keluarga di dinding rumahku. Lalu pada musim hari raya kali ini aku merakam foto kenangan keluarga, mengedit ringkas, memfremkan dan menggantungkannya di satu sudut dinding rumahku. Biarpun bagi orang lain ini satu perkara biasa, namun aku sangat menghargai kelainan yang kulakukan pada kali ini dalam mengabadikan kenangan raya bersama keluarga.

Memiliki keluarga ini membuatkan aku rasa insaf kerana:
1. Aku bersyukur kerana dianugerahi Tuhan keupayaan melihat dan menghargai keluarga. Biar sesusah mana sekalipun, kesejahteraan sekeluarga terutamanya anak-anak adalah tunjang kebahagiaan. Maka berikanlah perhatian terhadap kepentingan anak-anak dan keluarga.
2. Hargailah setiap saat bersama keluarga sementara mereka ada bersama kita dan kita bersama mereka. Kita tidak tahu saat bila semua pinjaman ini terpaksa kita lepaskan pergi.
3. Anak-anak adalah akar yang menunjangi keyakinan diriku untuk bergerak, berubah, tetap, maju, mundur, naik dan turun, berkeras, berlembut, bertegas atau bertolak ansur dalam banyak hal.
4. Anak-anak mendorongku menjadi kreatif.
5. Anak-anak pandai memujuk dan menghargaiku.
6. Anak-anak mengajarku erti kasih sayang, penghargaan, pengorbanan, perjuangan dan makna hidup.
7. Suami sebagai pelindung dan pemudah cara dalam banyak keadaan.

Jika dahulu aku tidak sempat menilai diri kerana berhempas pulas membesarkan anak-anak kecil yang banyak kerenahnya, kini aku dapat melihat hikmahnya. Ku berdoa semoga kehidupan keluarga ini dan semua keluarga muslimin dan muslimat sentiasa dirahmati dan diberkati sepanjang masa.