Subscribe to RSS feeds

Monday, June 3, 2013

Bacakan Untuk Anak-Anak

Semasa anak-anak masih kecil, aku suka bacakan mereka sesuatu walaupun mereka tak faham. Bila nak bacakan mereka, tak perlu yang complicated. Pilih yang mudah-mudah sahaja.

Contohnya nyanyikan mereka ABC sambil tunjuk huruf di carta. Kadang-kadang bacakan nombor, Alif-Ba-Ta, nama-nama benda, jenis-jenis haiwan dan lain-lain. Maka banyaklah carta tertampal di dinding sana dan sini, yang senget, yang tanggal semuanya ada. Jika jauh dari carta tapi dekat dengan kertas dan pen, aku terus  tulis sahaja atas kertas tersebut terutamanya  huruf, nombor dan abjad jawi.

Kemudian aku ambil buku, kamus bergambar, majalah atau suratkhabar dan tunjuk kepada mereka sambil membunyikan perkataannya. Tujuannya nak input sebanyak mungkin vocab dalam minda mereka. Pancaindera atau anggota badan paling senang mahu ditunjukkan seperti nose, mouth, lip, cheek, chin, eyes, ear, hair, hand, elbow, tummy, leg, knee, ankle dsb. Bila melakukan sesuatu, aku akan sebut apa yang dilakukan. Contohnya walk - I am walking, bathe - you're bathing, eat - we're eating, let's eat, come on, let's go. Bila memuji aku gunakan kesempatan meluaskan vocab mereka seperti good girl, well done, clever, excellent, outstanding dan sebagainya. Menyanyi bersama mereka juga biasa kulakukan.

Selama lima minit sehari, aku akan membacakan buku (cerita) untuk mereka. Tak perlu habiskan cerita. Asal ada masa sedikit untuk membaca bersama mereka. Kemudian barulah hantar mereka ke tadika yang pelbagai jenis sebab nak cover pengetahuan Islam (fardhu ain), English, Mathematik dan mengaji.

Semasa menghantar mereka ke sekolah, inilah peluang yang paling baik untuk mereka menghafaz. Mula sahaja perjalanan, aku bacakan doa dan anak-anak ikut baca. Bila membacakan mesti satu perkataan demi satu perkataan, dua-dua pun ok, maksimum tiga perkataan demi tiga perkataan dan tak boleh lebih dari itu.

Selepas habis satu doa, aku akan berpindah ke doa-doa yang lain, ayat-ayat quran yang penting, surah-surah lazim yang pendek, bacaan-bacaan solat, sifir-sifir dan lain-lain. Oleh kerana sudah selalu dibaca, akhirnya mereka hafal. Begitulah perjalanan mereka ke sekolah setiap pagi dari kecil sampai mereka besar.

Bila jemput mereka pulang dari sekolah, terbalik pula situasinya. Aku akan bertanyakan mereka tentang sekolah, kawan-kawan, masa rehat mereka dan lain-lain. Mereka dengan rancaknya bercerita satu-persatu dunia persekolahan mereka. Aku hanya tekun mendengar. Sesekali ketawa gelihati.

Aku menganggap anak-anak kecil umpama komputer. Kita install segala software (maklumat/ilmu) yang berguna untuk mereka. Bila suatu hari kelak mereka mahu menggunakan software tersebut, dengan mudah sahaja mereka klik. Boleh juga input semasa dewasa. Tetapi memberi input semasa mereka kecil lebih berkesan. Tak perlu formal dan usah paksa mereka mendengar. Tak perlu lama, biar sekejap tetapi selalu.

Alhamdulillah, sebelum sekolah darjah satu atau ketika darjah satu mereka sudah pandai membaca. Bagi anak perempuanku, membaca buku menjadi kegilaan. Sebulan terpaksa peruntukan beberapa ratus untuk membeli buku-buku. Yang lelaki gila komik tu biasalah.

Mungkin inilah sebabnya Muhammad diajar membaca sebelum dilantik menjadi Rasul. Kerdilnya diri ini. Macam hanya sedikit sahaja yang sempat aku bacakan untuk mereka. Kalaulah masa itu dapat diulang.

Sunday, June 2, 2013

Terkunci Dan Susu Basi

Sewaktu anak-anakku masih kecil dahulu suasana memang hingar bingar. Bergurau dan ketawa memang perkara biasa. Menyakat, mengacau dan akhirnya menangis juga biasa. Dalam sehari memang tak pernah sunyi dari dua elemen tersebut; ketawa dan menangis.

Ketika anakku masih empat orang; setahun, dua tahun (2 orang-kembar) dan empat tahun, ada satu peristiwa yang tidak dapat kulupakan. Setiap kali kami sekeluarga berbual dan menyebut mengenainya, pasti kami akan tergelak ketawa mengingati kenangan tersebut.

Anakku yang setahun waktu itu adalah perempuan. Dia berdiri di pagar rendah (partition antara dapur dan ruang tengah rumah). Sambil memegang pagar, dia memerhatikan aku di dapur yang sedang sibuk itu dan ini. Di kiri dan kanannya adalah dua abang kembar yang berumur dua tahun. Anak perempuanku memang chubby, comel dan montel. Abang-abang kembarnya suka mencuit pipinya. Kadang-kadang mencubit pipi adik sampai merah, sampai adik menangis.

Sudah banyak kali aku menyapa, menegur dan mengingatkan agar jangan kacau adik. Tapi adik asyik berbunyi sahaja. Pipinya semakin merah dicubit abang-abang kembar. Oleh kerana telinga ini sudah tidak tahan asyik mendengar adik (anak perempuanku) menjerit dan menangis kesakitan, maka aku membasuh tanganku dan mengangkat anak kembarku satu persatu masuk ke dalam bilik. Terus aku menguncinya. Tujuannya agar adik tidak dikacau lagi, tidak menangis lagi dan aku boleh memasak dengan aman.

Selepas itu aku lega sebab adik sudah tidak menangis lagi, abang-abang kembar juga senyap sahaja dalam bilik berkunci. Tiada bunyi tangis, tiada sebarang yang mencurigakan. Namun selepas kira-kira lima belas minit, aku mula resah dan tidak senang memasak. Suasana sangat aman. Tiada bunyi langsung. Betulkah tiada sebarang masalah? Aku semakin gelisah dan serba tak kena.

Akhirnya aku berhenti memasak dan cuba menjenguk anak-anak kembarku yang di dalam bilik tadi. Kucuba pusingkan anak kunci, namun ada sesuatu yang tersangkut. Pintu tidak dapat dibuka. Kunci pintu itu memang ada sedikit masalah. Kekadang senang buka. Kekadang susah pula membukanya. Pada hari itu malang nasib aku terus tak dapat membukanya walaupun setelah berpuluh kali aku mencubanya. Sah kunci itu memang sudah totally rosak.

Aku jadi semakin panik. Kuintai anak-anak kembarku melalui lubang kunci (kunci zaman dahulu). Keduanya sedang bermain, berjalan ke sana dan ke mari. Kupanggil-panggil nama mereka, langsung tidak menyahut. Sesekali mereka melihat ke arah pintu bila nama mereka dipanggil. Kulihat apa yang mereka lakukan. Salah seorang daripadanya sedang memegang dan menghisap botol susu malam semalam yang masih berbaki lagi sedikit. Aku bertambah cemas. Kupanggil namanya, minta jangan minum susu basi itu. Tapi budak dua tahun... mana dia tahu basi atau tidak? Yang dia tahu dia haus dan lapar, mahu minum.

Aku mengucap dan beristighfar banyak-banyak. Aku terus berlari ke rumah jiran dan meminta jasa baik jiranku membukakan pintu bilik itu. Jiranku mencuba sedaya upaya. Tapi tak juga berjaya membukanya. Akhirnya jiranku minta izin mengumpil kunci pintu tersebut. Tanpa berfikir panjang (yang kufikirkan hanya anak-anak), maka aku bersetuju. Maka tanggallah kunci dan terbukalah pintu. Dengan segera aku berlari mendapatkan dan memeluk anak-anak kembarku.

Bergenang air mataku waktu itu. Aku menyesal menghukum mereka dalam bilik berkunci. Apalah sangat yang budak dua tahun faham. Mereka innocent. Akulah yang bersalah. Aku juga bimbang kesan susu basi yang diminum oleh salah seorang daripada mereka kerana kelaparan. Bila suamiku pulang dari kerja, aku ceritakan semuanya. Dia menasihatiku agar jangan ikutkan emosi. Kemudian dia ketawa. Lucukah kejadian itu?

Sehingga hari ini kisah tragis ini seringkali menjadi bualan kami. Anak-anak kembarku sudah besar. Yang terminum susu basi berkata, "Patutlah abang belajar lambat sikit. Rupanya minum susu basi." Satu keluarga kami tergelak.

Pengajaran besar: Kalaupun marah sangat, jangan ikutkan hati. Nanti menyesal.

Friday, May 31, 2013

Pengaruh 'Pink Panther'

Suatu waktu dahulu cerita 'Pink Panther' memang popular sama ada di kaca TV atau melalui VCD. Waktu itu anak-anakku masih kecil dan ada yang sudah bersekolah.

Menonton cerita kartun di TV atau VCD memang sangat diminati dan menjadi aktiviti keluarga terutamanya bagi anak-anak. Salah satu siri kartun yang ddigemari ialah 'Pink Panther'. Dalam cerita tersebut, Pink Panther mewarnakan apa sahaja objek dengan warna merah jambu menggunakan berus cat dan cat air. Rupanya tabiat ini mengajar sesuatu kepada anak-anak saya. 

Pada suatu hari, cuaca kian terang selepas beberapa jam hujan turun. Kami hanya tinggal di rumah sewa. Di hadapan rumah yang kami diami terdapat lopak air. Oleh kerana tanahnya berwarna merah, maka air di dalam lopak itu juga berwarna kemerah-merahan atau antara warna merah bata dengan warna merah jambu. 

Kereta kami waktu itu cuma sebuah kereta Ford Laser buruk berwarna merah. Oleh kerana hari sudah terang dan tiada hujan lagi, anak-anakku mula membuka pintu dan mengambil peluang bermain di luar rumah. Seperti biasa mereka bergelak ketawa, riang dan gembira bermain bersama-sama adik-beradik. Aku berasa lega kerana anak-anak tiada masalah. Tiada yang menangis. 

Jerit pekik dan tawa ria anak-anak terus kedengaran. Selesai tugasanku di dapur, aku pun keluar rumah untuk menjenguk anak-anak kecil yang seronok bermain di halaman rumah. Langsung tak menyangka apa-apa. Namun bila sampai sahaja ke muka pintu, aku begitu terkejut dengan apa yang kulihat. Bila kupanggil suami yang tadinya tertidur di hadapan TV, dia juga terperanjat dengan apa yang terjadi. Biji mata terus menjadi bulat, mulut terus jadi terlopong.

Kereta kami yang sudahlah berwarna merah dan agak usang, kini bertambah usang menjadi warna tanah merah keseluruhannya termasuklah  tingkap-tingkapnya sekali. Hati suamiku tentulah menggelegak keretanya dicat dengan warna tanah. Hatiku pula tergelak menyaksikan kreativiti anak-anak kami tapi kubiarkan mereka berbaris satu demi satu dapat sekali rotan setiap seorang oleh ayah mereka, kecuali yang paling kecil. 

Kemudian aku panggil anak-anak masuk ke rumah. Aku duduk dengan mereka dan kuminyakkan (sapu ubat gamat) bekas rotan yang masih melekat di kulit mereka. Kemudian aku tanya mereka, "Kenapa buat begitu di kereta abah? Lihat, abah sudah marah."

Anak sulongku yang ketika itu berusia enam tahun petah menjawab, "Kita nak buat macam Pink Panther." Anak kembarku yang berusia empat tahun pula menambah, "Kita nak cat semua warna pink, macam Pink Panther buat." Aku bertanya lagi, "Kamu guna berus apa?" "Kita guna penyapu." Jawab kembar yang seorang lagi. Mereka menyamakan penyapu dengan berus cat. Mungkin bentuknya hampir sama. Hanya saiz yang berbeza. "Kamu guna cat apa?"  Sengaja aku bertanya walaupun aku sudah pasti apa yang mereka gunakan. Adik paling kecil yang berusia tiga tahun pula menambah, "Kita guna cat pink."  "Mana cat pink?" "Kat tanah." Si kembar menyampuk. Aku gelihati bercampur kagum dengan jawapan anak-anakku yang kreatif.

Petang itu aku menasihati mereka agar jangan lakukan perkara itu lagi terutama terhadap kereta dan barang-barang kepunyaan ayah mereka. Sebaliknya boleh mewarnakan pink di atas kertas. Kupeluk anak-anakku satu persatu sambil memuji kebijaksanaan mereka. Kemudia mereka kubawa membersihkan diri. 

Anak-anak memang cepat belajar atau terpengaruh dengan apa sahaja yang mereka lihat, dengar dan alami. Berhati-hati memberi input kepada mereka. Mereka adalah kain putih yang boleh dicorakkan dengan apa sahaja warna. (Termasuk warna pink! hehe)