Subscribe to RSS feeds

Sunday, June 2, 2013

Terkunci Dan Susu Basi

Sewaktu anak-anakku masih kecil dahulu suasana memang hingar bingar. Bergurau dan ketawa memang perkara biasa. Menyakat, mengacau dan akhirnya menangis juga biasa. Dalam sehari memang tak pernah sunyi dari dua elemen tersebut; ketawa dan menangis.

Ketika anakku masih empat orang; setahun, dua tahun (2 orang-kembar) dan empat tahun, ada satu peristiwa yang tidak dapat kulupakan. Setiap kali kami sekeluarga berbual dan menyebut mengenainya, pasti kami akan tergelak ketawa mengingati kenangan tersebut.

Anakku yang setahun waktu itu adalah perempuan. Dia berdiri di pagar rendah (partition antara dapur dan ruang tengah rumah). Sambil memegang pagar, dia memerhatikan aku di dapur yang sedang sibuk itu dan ini. Di kiri dan kanannya adalah dua abang kembar yang berumur dua tahun. Anak perempuanku memang chubby, comel dan montel. Abang-abang kembarnya suka mencuit pipinya. Kadang-kadang mencubit pipi adik sampai merah, sampai adik menangis.

Sudah banyak kali aku menyapa, menegur dan mengingatkan agar jangan kacau adik. Tapi adik asyik berbunyi sahaja. Pipinya semakin merah dicubit abang-abang kembar. Oleh kerana telinga ini sudah tidak tahan asyik mendengar adik (anak perempuanku) menjerit dan menangis kesakitan, maka aku membasuh tanganku dan mengangkat anak kembarku satu persatu masuk ke dalam bilik. Terus aku menguncinya. Tujuannya agar adik tidak dikacau lagi, tidak menangis lagi dan aku boleh memasak dengan aman.

Selepas itu aku lega sebab adik sudah tidak menangis lagi, abang-abang kembar juga senyap sahaja dalam bilik berkunci. Tiada bunyi tangis, tiada sebarang yang mencurigakan. Namun selepas kira-kira lima belas minit, aku mula resah dan tidak senang memasak. Suasana sangat aman. Tiada bunyi langsung. Betulkah tiada sebarang masalah? Aku semakin gelisah dan serba tak kena.

Akhirnya aku berhenti memasak dan cuba menjenguk anak-anak kembarku yang di dalam bilik tadi. Kucuba pusingkan anak kunci, namun ada sesuatu yang tersangkut. Pintu tidak dapat dibuka. Kunci pintu itu memang ada sedikit masalah. Kekadang senang buka. Kekadang susah pula membukanya. Pada hari itu malang nasib aku terus tak dapat membukanya walaupun setelah berpuluh kali aku mencubanya. Sah kunci itu memang sudah totally rosak.

Aku jadi semakin panik. Kuintai anak-anak kembarku melalui lubang kunci (kunci zaman dahulu). Keduanya sedang bermain, berjalan ke sana dan ke mari. Kupanggil-panggil nama mereka, langsung tidak menyahut. Sesekali mereka melihat ke arah pintu bila nama mereka dipanggil. Kulihat apa yang mereka lakukan. Salah seorang daripadanya sedang memegang dan menghisap botol susu malam semalam yang masih berbaki lagi sedikit. Aku bertambah cemas. Kupanggil namanya, minta jangan minum susu basi itu. Tapi budak dua tahun... mana dia tahu basi atau tidak? Yang dia tahu dia haus dan lapar, mahu minum.

Aku mengucap dan beristighfar banyak-banyak. Aku terus berlari ke rumah jiran dan meminta jasa baik jiranku membukakan pintu bilik itu. Jiranku mencuba sedaya upaya. Tapi tak juga berjaya membukanya. Akhirnya jiranku minta izin mengumpil kunci pintu tersebut. Tanpa berfikir panjang (yang kufikirkan hanya anak-anak), maka aku bersetuju. Maka tanggallah kunci dan terbukalah pintu. Dengan segera aku berlari mendapatkan dan memeluk anak-anak kembarku.

Bergenang air mataku waktu itu. Aku menyesal menghukum mereka dalam bilik berkunci. Apalah sangat yang budak dua tahun faham. Mereka innocent. Akulah yang bersalah. Aku juga bimbang kesan susu basi yang diminum oleh salah seorang daripada mereka kerana kelaparan. Bila suamiku pulang dari kerja, aku ceritakan semuanya. Dia menasihatiku agar jangan ikutkan emosi. Kemudian dia ketawa. Lucukah kejadian itu?

Sehingga hari ini kisah tragis ini seringkali menjadi bualan kami. Anak-anak kembarku sudah besar. Yang terminum susu basi berkata, "Patutlah abang belajar lambat sikit. Rupanya minum susu basi." Satu keluarga kami tergelak.

Pengajaran besar: Kalaupun marah sangat, jangan ikutkan hati. Nanti menyesal.

0 comments: