Subscribe to RSS feeds

Friday, May 31, 2013

Pengaruh 'Pink Panther'

Suatu waktu dahulu cerita 'Pink Panther' memang popular sama ada di kaca TV atau melalui VCD. Waktu itu anak-anakku masih kecil dan ada yang sudah bersekolah.

Menonton cerita kartun di TV atau VCD memang sangat diminati dan menjadi aktiviti keluarga terutamanya bagi anak-anak. Salah satu siri kartun yang ddigemari ialah 'Pink Panther'. Dalam cerita tersebut, Pink Panther mewarnakan apa sahaja objek dengan warna merah jambu menggunakan berus cat dan cat air. Rupanya tabiat ini mengajar sesuatu kepada anak-anak saya. 

Pada suatu hari, cuaca kian terang selepas beberapa jam hujan turun. Kami hanya tinggal di rumah sewa. Di hadapan rumah yang kami diami terdapat lopak air. Oleh kerana tanahnya berwarna merah, maka air di dalam lopak itu juga berwarna kemerah-merahan atau antara warna merah bata dengan warna merah jambu. 

Kereta kami waktu itu cuma sebuah kereta Ford Laser buruk berwarna merah. Oleh kerana hari sudah terang dan tiada hujan lagi, anak-anakku mula membuka pintu dan mengambil peluang bermain di luar rumah. Seperti biasa mereka bergelak ketawa, riang dan gembira bermain bersama-sama adik-beradik. Aku berasa lega kerana anak-anak tiada masalah. Tiada yang menangis. 

Jerit pekik dan tawa ria anak-anak terus kedengaran. Selesai tugasanku di dapur, aku pun keluar rumah untuk menjenguk anak-anak kecil yang seronok bermain di halaman rumah. Langsung tak menyangka apa-apa. Namun bila sampai sahaja ke muka pintu, aku begitu terkejut dengan apa yang kulihat. Bila kupanggil suami yang tadinya tertidur di hadapan TV, dia juga terperanjat dengan apa yang terjadi. Biji mata terus menjadi bulat, mulut terus jadi terlopong.

Kereta kami yang sudahlah berwarna merah dan agak usang, kini bertambah usang menjadi warna tanah merah keseluruhannya termasuklah  tingkap-tingkapnya sekali. Hati suamiku tentulah menggelegak keretanya dicat dengan warna tanah. Hatiku pula tergelak menyaksikan kreativiti anak-anak kami tapi kubiarkan mereka berbaris satu demi satu dapat sekali rotan setiap seorang oleh ayah mereka, kecuali yang paling kecil. 

Kemudian aku panggil anak-anak masuk ke rumah. Aku duduk dengan mereka dan kuminyakkan (sapu ubat gamat) bekas rotan yang masih melekat di kulit mereka. Kemudian aku tanya mereka, "Kenapa buat begitu di kereta abah? Lihat, abah sudah marah."

Anak sulongku yang ketika itu berusia enam tahun petah menjawab, "Kita nak buat macam Pink Panther." Anak kembarku yang berusia empat tahun pula menambah, "Kita nak cat semua warna pink, macam Pink Panther buat." Aku bertanya lagi, "Kamu guna berus apa?" "Kita guna penyapu." Jawab kembar yang seorang lagi. Mereka menyamakan penyapu dengan berus cat. Mungkin bentuknya hampir sama. Hanya saiz yang berbeza. "Kamu guna cat apa?"  Sengaja aku bertanya walaupun aku sudah pasti apa yang mereka gunakan. Adik paling kecil yang berusia tiga tahun pula menambah, "Kita guna cat pink."  "Mana cat pink?" "Kat tanah." Si kembar menyampuk. Aku gelihati bercampur kagum dengan jawapan anak-anakku yang kreatif.

Petang itu aku menasihati mereka agar jangan lakukan perkara itu lagi terutama terhadap kereta dan barang-barang kepunyaan ayah mereka. Sebaliknya boleh mewarnakan pink di atas kertas. Kupeluk anak-anakku satu persatu sambil memuji kebijaksanaan mereka. Kemudia mereka kubawa membersihkan diri. 

Anak-anak memang cepat belajar atau terpengaruh dengan apa sahaja yang mereka lihat, dengar dan alami. Berhati-hati memberi input kepada mereka. Mereka adalah kain putih yang boleh dicorakkan dengan apa sahaja warna. (Termasuk warna pink! hehe)






0 comments: