Subscribe to RSS feeds

Wednesday, February 3, 2010

Antara Gembira dan Sedih

(Dicatat pada 2 Januari 2010)

Semalam, 1 Januari 2010 adalah satu tarikh yang mengungkapkan rasa gembira dan sekaligus rasa duka pada diriku.

Kira-kira jam 11.00 pagi aku menerima panggilan telefon dari seorang yang telah kuanggapnya sebagai kakak dan saudaraku dari Terengganu. Panggilannya memang kutunggu-tunggu setelah kami terpisah kira-kira 15 tahun yang lalu kerana dari Kuala Lumpur aku berpindah ke Johor dan keluarga Puan Nailah pula berpindah ke Perak. Pernah sekali aku bertemu dengannya kira-kira 7 tahun lalu ketika aku menziarahinya di Kuala Terengganu sebaik sahaja kematian suaminya akibat kanser. Ketika itu dia sudah berpindah pula ke Kuala Terengganu. Setelah itu kak Nailah berpindah dan aku juga berpindah rumah dan kami putus hubungan lagi.

Panggilan kali ini kutunggu setelah salah seorang anak kak Nailah yang menggunakan nama samaran meminta nombor telefonku melalui instant message YM. Malangnya panggilan kali ini membawa berita duka dan sedih. Kak Nailah menghidap kanser tahap 4 dan telah beberapa kali menjalani kemoterapi selain sekali pembedahan. Aku terkejut dan sedih.

Namun berita gembiranya aku menemui semula anak susuan yang terpisah, bertemu sekali hampir sedekad yang lalu dan putus hubungan lagi sehingga kini. Dialah yang sering menghubungiku sejak akhir-akhir ini dengan nama samaran di YM. Tekaanku semakin pasti bila dia menyebut nama ibu kandungnya, Nailah. Dan kini sudah benar-benar pasti dialah bayi kecil yang pernah kuberikan ihsan dari darah dagingku sendiri 16 tahun dahulu.

Satu peristiwa yang membawa dua berita saling bertentangan antara satu sama lain; berita sedih dan gembira ini telah membuat airmataku deras mengalir sederas hujan lebat yang turun di luar sana. Terharu dan gembira dapat bertemu Ilyas semula namun sedih dengan situasi yang ditanggung oleh ibu kandungnya. Tuhan lebih mengetahui.

Apakah hidup ini sebuah suratan atau kebetulan?

0 comments: